KUALA LUMPUR: Peluang skuad hoki lelaki negara layak ke Sukan Olimpik 2024 belum terkubur sebaliknya masih ada sinar untuk mendapatkan ‘tiket’ sekali gus terbang ke Paris tahun depan.
Memetik laporan Berita Harian, ketua jurulatih hoki Malaysia, Arul Selvaraj berkata, pasukan negara masih ada peluang apabila akan turun dalam aksi kelayakan sama ada di Oman atau Sepanyol yang akan diadakan awal tahun depan.
Menurutnya, pasukan hoki akan turun dengan semangat lebih berkobar-kobar untuk memburu peluang kedua ini agar dapat menyambar slot yang ditawarkan.
“Saya akan melihat kembali kesilapan yang dilakukan secara individu di dalam perlawanan dan kita akan baiki kesilapan itu.
“Pemain memang kecewa selepas tidak layak tapi mereka kena cepat bangkit dan tengok semula perjalanan sebelum ini untuk menaikkan kembali semangat pemain,” katanya.
Tambahnya, aksi kelayakan kali ini lebih terbuka jika dibandingkan dengan sebelum ini kerana perlawanan diadakan lebih banyak dan adil untuk pasukan yang bertanding.
“Kita akan bermain dalam peringkat kumpulan dan sudah pasti sasaran kita berada di kedudukan kedua terbaik terlebih dahulu dan layak ke separuh akhir.
“Jika menang di separuh akhir dan ke final, slot itu sudah pasti dan jika terkandas, kita akan bermain dalam penentuan untuk tempat ketiga dan keempat.
“Disebabkan itu saya kata peluang pasukan kita masih terbuka dan boleh layak ke Olimpik,” katanya.
Bagi meningkatkan kekuatan pasukan dan mendapatkan lawan yang setanding, The Speedy Tigers akan ke New Zealand untuk mengadakan perlawanan persahabatan di sana.
Jadual penuh aksi kelayakan Olimpik Paris, awal bulan akan diketahui selepas Sukan Pan Amerika yang akan berlangsung pada 20 Oktober sehingga 5 November.
Aksi kelayakan itu menawarkan enam slot di mana tiga slot di Oman dan tiga slot lagi di Sepanyol. – BH Online –
IMedikel TV






