Home Buletin Semasa JAPEN SEDIAKAN PAUTAN MERDEKA360

JAPEN SEDIAKAN PAUTAN MERDEKA360

Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan menyediakan buku panduan khas dalam bentuk digital bagi membolehkan orang ramai sedar mengenai sambutan Hari Kebangsaan.

Pengarah JaPen Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata orang ramai boleh dapatkan buku digital berkenaan menerusi pautan Merdeka360.

“Jabatan penerangan dari masa ke semasa mengadakan kempen dan kita sediakan buku panduan dalam bentuk digital, kita digitalkan buku panduan dalam bentuk ‘pdf file’. Ianya boleh dicapai oleh orang ramai melalui website kami.

“Dan untuk mendapat maklumat yang lebih lagi berkenaan dengan sambutan bulan kebangsaan Negara Malaysia ada satu website khusus yang juga official website dan untuk pautan boleh taip merdeka 360 ada facebooknya, ada instagramnya, ada tiktoknya yang menceritakan berkaitan dengan bulan kebangsaan ini,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kemerdekaan di Perkarangan Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Muhd Nor Aswadi berkata JaPen turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada semua wakil jabatan termasuk agensi media.

JaPen menyerahkan Jalur Gemilang kepada semua wakil jabatan termasuk agensi media.

Tambahnya, pihaknya juga mengambil peluang untuk meletakkan Jalur Gemilang di semua kenderaan yang berada di wisma dan juga kenderaan lalu lalang di kawasan berkenaan.

“Kita sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan kita beri penghormatan yang sewajarnya pada Jalur Gemilang, sekiranya Jalur Gemilang lusuh, wajar kita menukar Jalur Gemilang tersebut dan tukarlah di tempat yg sewajarnya, elakkan daripada melakukan tindakan yang boleh dianggap tidak menghormati Jalur Gemilang tersebut,”katanya.

Mengulas lanjut, selepas kempen dan sambutan sejak 24 Julai lalu, pihak JaPen akan terus mengadakan acara di Komuniti MADANI yang melibatkan kampung, pusat pelancongan, pantai, pasar dan sekolah-sekolah menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

“Hari ini baru 17 Ogos maknanya semalam baru bermula, di mana-mana pun kita sudah dapat tengok kebanyakan tempat sudah pun ada Jalur Gemilang yang diletakkan di premis masing-masing dan sebagaimana yang disarankan di peringkat kebangsaan supaya setiap rumah di negeri kita khususnya memasang Jalur Gemilang,”katanya.

Beliau berharap, sambutan dan kempen Hari Kebangsaan tahun ini dapat disambut dengan baik dan semarak bagi menggelorakan sambutan tersebut.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here