Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
BACHOK: Calon PAS bagi kerusi N.21 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama, Huzaimy Che Husin memberi fokus untuk meneruskan bidang pelancongan sebagaimana telah dilaksanakan pada penggal lalu.
Huzaimy yang juga dikenali sebagai Haji Mie mahu kawasan Pantai Irama meliputi Tawang hingga ke Kandis dipergiatkan untuk menjadi kawasan pelancongan yang lebih menarik.

“Begitu juga kita bagi kemudahan kepada masyarakat tempatan untuk bina chalet sebagai projek sokongan dan juga khusus pada Jabatan Kerajaan melalui Jabatan Landskap Negara, Jabatan Pelancongan dan sebagainya, kita pastikan supaya dia boleh membantu mengikut jabatan-jabatan masing-masing.
“Perkemaskan atau penambahbaikan kawasan Pantai Irama dan buka kawasan pantai seperti Pantai Melawi, Pantai Kemasin dan juga semua kawasan pantai supaya boleh memberi satu kebaikan, keuntungan ataupun hiliran kepada masyarakat tempatan,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Melawat Kaum Tionghua, di Kampung Balai, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berusaha menyelesaikan masalah dihadapi oleh penduduk Kampung Balai dari segi rangkaian internet yang sangat perlahan.
“Ini antara yang juga menjadi sasaran saya untuk tempoh penggal akan datang iaitu kita pastikan supaya melalui agensi berkaitan, kemudahan yang sangat terhad semuanya sangat bergantung kepada kementerian yang berkaitan untuk memastikan supaya semua kawasan DUN Pantai Irama ini boleh liputan yang baik kerana sangat perlu untuk ramai pelajar yang dalam urusan pelajaran dan juga orang yang berniaga.
“Rangkaian internet dan sebagainya kita usaha dah, sudah panggil jabatan-jabatan yang berkaitan dan buat perjumpaan dengan penghulu-penghulu, cadangkan tempat-tempat yang sepatut buat dan diberitahu mana-mana kawasan yang tiada liputan.
“Saya nak tambah pembaikan lagi ataupun tekan sikit lagi untuk pastikan supaya kehendak rakyat dapat dipenuhi ataupun diusahakan oleh pihak jabatan yang berkaitan.”katanya.
Ditanya mengenai kempen minggu akhir, berdasarkan pengalaman lebih seminggu berkempen, beliau akui sambutan baik diterima daripada rakyat termasuk penduduk kaum Tionghua.
“Jentera kita berkaitan semua bahagian siap sedia termasuk jentera pengangkutan, jentera pemantauan dan saya yakin siapsiaga inshaallah tunggu 12 haribulan untuk pastikan pukul 12 adalah keputusan yang terbaik untuk kita,”katanya.

Seorang penduduk Tang Engkian, 50, dari Kampung Balai, berharap calon yang menang pilihanraya pada kali ini akan bertindak dengan lebih arif dan mengambil inisiatif yang efisien untuk membantu menyelesaikan isu terhadap kebajikan rakyat.
Imedikel TV






