Home Luar Negara SERANGAN SIBER JEJAS HOSPITAL DI 4 NEGERI AS

SERANGAN SIBER JEJAS HOSPITAL DI 4 NEGERI AS

LOS ANGELES: Sebuah kumpulan hospital Amerika Syarikat (AS) menghadapi serangan siber sehingga terpaksa menutup sementara pusat penjagaan segera dan perkhidmatan kesihatan kritikal yang lain di sekurang-kurang empat negeri.

Prospect Medical Holdings yang mengendalikan 16 hospital di California, Connecticut, Pennsylvania dan Rhode Island, berdepan ‘insiden keselamatan data’, menurut jurucakap dalam satu kenyataan kepada AFP, semalam.

“Sebaik saja mengetahui perkara ini, kami menutup sistem dalam talian dan melancarkan siasatan dengan bantuan pakar keselamatan siber daripada pihak ketiga,” katanya.

Jurucakap itu berkata, kejadian terbabit dilihat sebagai serangan ‘ransomware’, namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Dalam pada itu, kami memfokus untuk menangani keperluan mendesak pesakit dan berusaha mengembalikan operasi kepada normal secepat mungkin,” menurut kenyataan berkenaan lagi.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Hospital Waterbury bawah kumpulan itu di Connecticut memaklumkan, gangguan sistem komputer berkenaan menjejaskan operasi membabitkan pesakit luar dan di dalam wad, yang menyaksikan petugas terpaksa menggunakan ‘rekod kertas hingga masalah itu dapat diselesaikan.’

Eastern Connecticut Health Network pula berkata, pihaknya menutup sementara pusat penjagaan segera dan membatalkan pembedahan elektif, sehingga dimaklumkan kemudian.

Serangan ‘ransomware’ lazimnya mengakses sistem komputer dan menyekat atau mencuri data, sebelum menghantar nota peras ugut menuntut bayaran untuk menyahkan sekatan data terbabit ataupun tidak mendedahkannya kepada umum.

Kumpulan penjagaan kesihatan sering menjadi sasaran serangan seumpama itu. – AFP, BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here