PUTRAJAYA: Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuat keputusan dengan membuat penambahbaikan kepada Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Menurut kenyataan media, jemaah Menteri pada 24 Julai 2019 telah mengambil maklum bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak meneruskan Penggubalan Rang UndangUndang (RUU) Penyelenggaraan dan Membaik Pulih Kenderaan Bermotor kerana wujudnya kekangan dalam melaksanakan RUU tersebut.
Bagi merealisasikan cadangan pindaan tersebut, beberapa siri libat urus di seluruh Negara telah dilaksanakan bermula Julai hingga Oktober 2019 bagi memberi penerangan dan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak terhadap cadangan pindaan Peraturan ini.
Hasilnya, cadangan pindaan Peraturan ini mendapat maklum balas yang baik daripada pemain industri dan pihak persatuan secara keseluruhannya.
Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian telah mengadakan beberapa sesi libat urus bagi memuktamadkan pindaan Peraturan ini yang telah pun berjaya diwartakan pada 22 Jun 2022 atas nama Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah 2 berkuatkuasa pada 1 Julai 2022.
Bagaimanapun, penguatkuasaan bagi Peraturan ini telah ditangguhkan selama satu (1) tahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan ini dibuat sepenuhnya dan penguatkuasaan bermula pada 1 Julai 2023.
Pindaan Peraturan ini adalah bagi menambahkan beberapa kriteria dan syarat dalam mendedahkan maklumat kepada pengguna sebelum sebarang perkhidmatan dijalankan.
Sehubungan dengan itu, KPDN memaklumkan tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan Peraturan ini telah berkuatkuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.
Sekiranya berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada Peraturan ini boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) ini.
Sumber: KPDN
Imedikel TV






