Home Buletin Semasa PERKHIDMATAN BEDAH JANTUNG KELANTAN TIDAK TERJEJAS, PAKAR BAHARU DIJANGKA LAPOR DIRI DISEMBER

PERKHIDMATAN BEDAH JANTUNG KELANTAN TIDAK TERJEJAS, PAKAR BAHARU DIJANGKA LAPOR DIRI DISEMBER

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Perkhidmatan bedah jantung di Kelantan tidak mengalami sebarang gangguan susulan keputusan seorang pakar bedah kardiotorasik di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) meninggalkan perkhidmatan kerajaan bagi menyertai sektor swasta.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, seorang pakar baharu sudah dikenal pasti dan dijadualkan melapor diri di negeri ini pada 1 Disember ini.

“Bagaimanapun,  pakar berkenaan mungkin memohon penangguhan lapor diri sehingga dua minggu bagi menguruskan persediaan perpindahan serta menyelesaikan urusan di tempat bertugas lama.

“Surat sudah dikeluarkan untuk pegawai tersebut datang bertugas di Kelantan. Jika berlaku sedikit penangguhan, kemungkinan beliau akan mula bertugas pada pertengahan Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Unit Spiritualiti dan Kesihatan (USK) HRPZ II serta Garis Panduan Penjagaan Aurat Pesakit di Dewan Bedah dan Dewan Bersalin hospital berkenaan, di sini.

Menurutnya, KKM bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut merancang mendapatkan khidmat pakar bedah kardiotorasik secara giliran atau pakar pelawat dari negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Johor bagi membantu menjalankan pembedahan serta prosedur berkaitan.

Katanya, urusan rawatan susulan pesakit pula dapat diteruskan oleh pegawai perubatan sedia ada yang mempunyai latihan dan pendedahan mencukupi dalam bidang berkenaan.

Mengulas keputusan pakar yang meninggalkan perkhidmatan kerajaan, beliau berkata, perkara itu bukan berpunca daripada sebarang masalah dengan pihak hospital sebaliknya lebih kepada urusan peribadi, termasuk hasrat untuk berada lebih dekat dengan keluarga serta peluang berkhidmat di sektor swasta.

Beliau mengakui kekangan pakar bedah kardiotorasik dalam sistem KKM adalah cabaran kerana jumlahnya dianggarkan hanya sekitar 17 orang bagi memenuhi keperluan 14 hospital negeri.

“Usaha melahirkan seorang pakar dalam bidang itu juga mengambil masa kira-kira tujuh tahun, termasuk melalui latihan dan peningkatan kemahiran menerusi kerjasama dengan universiti antarabangsa serta penempatan di luar negara,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here