Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kerajaan memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan negara susulan peningkatan ancaman risikan asing di rantau ini, termasuk aktiviti agensi perisikan Israel, Mossad, yang dilaporkan semakin aktif di negara jiran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sudah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan kepada rakyat mengenai perkembangan itu supaya semua pihak sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
“MKN sudah saya minta memaklumkan kepada rakyat bahawa kegiatan Mossad daripada pangkalan di negara jiran semakin aktif sejak tiga hingga empat tahun lalu.
“Perkara ini memerlukan kita sentiasa berwaspada dan memperkukuh kerjasama dengan negara jiran bagi menangani sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Semarak Wakaf Perdana 2026 di Pulau Pinang, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia perlu terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara jiran serta mengamalkan dasar luar yang seimbang bagi memastikan kepentingan keselamatan dan ekonomi negara terus terpelihara.
Beliau berkata, hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China perlu dikekalkan kerana kedua-dua negara mempunyai kepentingan besar kepada ekonomi negara.
“Suka atau tidak, pelaburan dan perdagangan Malaysia yang tertinggi adalah dengan Amerika Syarikat. Dalam masa sama, China ialah sebuah kuasa besar dan jiran penting kepada kita.
“Sebab itu kita perlu mengurus hubungan dengan semua pihak secara bijaksana demi kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu, malah telah dipraktikkan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka yang menjalin hubungan baik dengan kuasa besar ketika itu bagi menjamin kelangsungan serta keselamatan negara.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, usaha membanteras rasuah dan ketirisan dalam agensi penguat kuasa juga merupakan sebahagian daripada agenda memperkukuh keselamatan negara.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa atau bersekongkol dengan sindiket jenayah sehingga menjejaskan kepentingan negara.
“Tender dan perolehan kerajaan mempunyai peraturan yang ketat kerana kita tidak mahu budaya rasuah dan komisen terus berleluasa.
“Kita akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengkhianati amanah, termasuk yang terbabit dengan kegiatan penyeludupan atau jenayah terancang,” katanya.
IMedikel TV






