Home Sukan BEZZECCHI MENANG PERLUMBAAN PECUT MOTOGP VALENCIA

BEZZECCHI MENANG PERLUMBAAN PECUT MOTOGP VALENCIA

VALENCIA: Marco Bezzecchi meraih kemenangan dalam perlumbaan pecut MotoGP Valencia, sekali gus memperoleh kelebihan tipis ke atas Jorge Martin dalam perebutan tempat kedua kejuaraan dunia.

Memetik laporan Afp menerusi Berita Harian, Martin dari Sepanyol menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di depan Enea Bastianini, dalam aksi yang tertangguh susulan insiden pelik apabila jentera juara dunia yang bakal bersara, Marc Marquez, terbakar.

Gangguan pada lampu permulaan menyebabkan pelumba terpaksa menunggu di petak permulaan dengan enjin pada putaran maksimum sebelum perlumbaan dibatalkan apabila jentera Ducati milik Marquez mula mengeluarkan asap.

Pelumba Sepanyol itu sempat melompat keluar daripada jentera beberapa saat sebelum ia terbakar dan terpaksa meneruskan perlumbaan menggunakan jentera keduanya.

Marquez dikenakan hukuman susulan insiden itu apabila menerima penalti dua kali pusingan panjang yang dianggap berat, namun beliau berkata tidak boleh mempertikaikan keputusan berkenaan.

“Sedikit kekeliruan berlaku pada awal perlumbaan berikutan masalah lampu permulaan, tetapi mujurlah semuanya berakhir dengan baik kerana Marc berada dalam keadaan selamat.

“Dia sebenarnya hanya kurang bernasib baik kerana suhu jentera meningkat dengan mendadak dan malangnya dia terpaksa berdepan masalah itu,” kata Bezzecchi.

Susulan masalah berkenaan, perlumbaan pecut dikurangkan satu pusingan kepada 12 pusingan.

Martin melonjak ke tempat kedua di selekoh pertama selepas memulakan perlumbaan dari petak kelima, di belakang pelumba Itali yang bermula dari petak utama, Bezzecchi.

Marquez merosot ke tempat ke-14 selepas menjalani penalti sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13.

Sementara itu, Bezzecchi semakin melebarkan jurang ke atas rakan sepasukan Aprilia, Martin, sehingga mencecah tiga saat.

Bezzecchi yang berada di tempat kedua keseluruhan kini mendahului Martin dengan kelebihan satu mata menjelang Grand Prix terakhir musim ini, Ahad.

“Perlumbaan esok pastinya berbeza kerana jaraknya lebih panjang. Kami tidak boleh berhenti menekan, tetapi pada masa sama tidak boleh terus memecut sepanjang perlumbaan kerana tayar akan cepat haus.

“Selepas apa yang berlaku hari ini, saya pasti Marc akan lebih bermotivasi dan lebih agresif untuk beraksi habis-habisan,” tambah Bezzecchi.

Perlumbaan itu bakal menjadi aksi terakhir Marquez selepas juara dunia lapan kali yang berkongsi rekod itu mengumumkan pada Jumaat bahawa beliau akan bersara pada penghujung musim ini.

“Kami menikmati lima pusingan pertama bersama kumpulan pelumba di depan. Selepas menjalani penalti dua kali pusingan panjang, saya berfikir, ‘jangan buat sebarang kesilapan, habiskan perlumbaan dan esok hari baharu.’

“Esok pastinya hari yang sangat emosional dan sukar untuk mengawal perasaan,” kata Marquez. – AFP, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here