Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun merekodkan jumlah tertinggi dalam kalangan klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mengalami ketagihan dadah bersama gangguan kesihatan mental akibat penyalahgunaan dadah sintetik.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada 379 klien yang menerima rawatan berkaitan masalah berkenaan sehingga Oktober lalu, seramai 259 individu atau majoritinya adalah dalam lingkungan usia berkenaan.
Beliau berkata, jumlah itu diikuti individu berusia lebih 40 tahun iaitu seramai 116 orang, manakala empat kes membabitkan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun.

“Trend ini menunjukkan golongan belia masih menjadi kumpulan yang paling terdedah kepada penyalahgunaan dadah, khususnya dadah sintetik yang boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan fizikal dan mental.
“Cabaran rawatan penagihan kini semakin kompleks kerana ia bukan lagi sekadar isu ketagihan, malah turut melibatkan masalah kesihatan mental yang memerlukan pendekatan bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Royale Chulan Ziarah PUSPEN ‘Daripada Pemulihan kepada Peluang’ yang disempurnakan Pengerusi Boustead Hotels and Resorts Sdn Bhd, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Selamat, Tasek Gelugor,Pulau Pinang, hari ini.

Ruslin berkata, penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) menjadi penyumbang utama kepada kes berkenaan dengan 273 kes, diikuti opiat (60 kes), ganja (25 kes), lain-lain dadah (21 kes) dan benzodiazepine (16 kes).
Katanya, peningkatan pengambilan dadah sintetik memberi cabaran besar kerana bahan berkenaan bukan sahaja menyebabkan ketagihan, malah boleh mencetuskan gangguan mental seperti halusinasi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, istilah jalanan “piu piu” yang semakin diperkatakan merujuk kepada dadah sintetik yang disalah guna melalui cecair vape, termasuk syabu, ketamin dan etomidate yang juga digunakan sebagai ubat bius.
Jelasnya, penyalahgunaan bahan terbabit boleh menyebabkan pengguna mengalami masalah halusinasi serta meningkatkan risiko individu mencederakan diri.

“Kebanyakan mereka mengalami masalah halusinasi dan gangguan mental apabila datang mendapatkan rawatan. Disebabkan itu, pendekatan rawatan kepada kumpulan ini berbeza kerana mereka memerlukan pemantauan yang lebih rapi.
“Ada dalam kalangan mereka datang secara sukarela, selain dihantar ibu bapa atau rakan-rakan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Ruslin berkata, daripada keseluruhan 379 klien itu, seramai 333 orang atau 88 peratus adalah lelaki, manakala 46 lagi wanita.
Beliau berkata, AADK turut memantau kesihatan fizikal klien yang menghidap penyakit kronik dengan tekanan darah tinggi merekodkan jumlah tertinggi iaitu 804 kes sehingga Oktober lalu.
Katanya, ia diikuti tuberkulosis (393 kes), Hepatitis C (324 kes), kencing manis (305 kes), penyakit jantung (93 kes), HIV (45 kes) dan Hepatitis B (dua kes).
Beliau berkata, keadaan itu membuktikan pemulihan penagihan dadah masa kini memerlukan pendekatan lebih holistik yang menggabungkan rawatan ketagihan, psikiatri dan perubatan kronik secara serentak.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, AADK mengalu-alukan lebih banyak penglibatan sektor korporat menerusi program CSR bagi membantu memperkukuh proses pemulihan, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan sokongan sosial kepada bekas penagih.
Katanya, sokongan berterusan masyarakat dan sektor swasta amat penting bagi membantu bekas penagih kembali menjalani kehidupan normal serta mengurangkan risiko mereka kembali menagih.
IMedikel TV






