Home Buletin Semasa BANJIR KILAT TERMENUNG SEBULAN, AIR BERTAKUNG, BERBAU, GANGGU KESELESAAN PENDUDUK

BANJIR KILAT TERMENUNG SEBULAN, AIR BERTAKUNG, BERBAU, GANGGU KESELESAAN PENDUDUK

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

KOTA BHARU: Penduduk di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini, mendakwa terpaksa berdepan masalah banjir kilat yang berlarutan hampir sebulan sehingga menyebabkan air bertakung dan berbau, sekali gus mengganggu keselesaan serta aktiviti harian mereka.

Wakil penghuni perumahan Padang Polo, Siti Aisyah Muhammad, 30, mendakwa masalah banjir kilat termenung bukan berlaku sekali, sebaliknya sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu namun keadaannya dilihat semakin serius tahun ini.

Menurutnya, antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada keadaan itu adalah aktiviti menambak tanah di kawasan sekitar sehingga menjejaskan aliran air sedia ada.

“Masalah ini sudah lama berlaku. Saya sendiri sudah lima tahun tinggal di sini dan sepanjang tempoh itu memang setiap kali hujan kawasan ini akan dinaiki air, tetapi tahun ini keadaannya lebih teruk.

“Ketika hujan lebat, air boleh naik sehingga paras paha dan memasuki rumah penduduk selain menyebabkan laluan keluar masuk perkampungan tidak dapat digunakan seperti biasa,” dakwanya semasa ditemui di Perumahan Padang Polo, Tebing Tinggi, Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Jelasnya, mereka terpaksa letak kenderaan di luar kawasan perumahan sejauh 300 meter dan berjalan meredah air untuk keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah atau menguruskan urusan harian.

Siti Aisyah mendakwa, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila air bertakung dalam tempoh yang lama sehingga mengeluarkan bau kurang menyenangkan dan menjejaskan keselesaan penduduk.

Tambahnya, walaupun cuaca panas sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air mula surut, kawasan itu akan kembali ditenggelami air sekiranya hujan walaupun dalam tempoh singkat.

“Kalau hujan sedikit sahaja, air akan bertakung semula. Puncanya kerana tiada sistem saliran yang sempurna menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar dengan baik,” dakwanya.

Sehubungan itu, dia yang mewakili sembilan keluarga yang terjejas berharap pihak berkaitan termasuk yang berada di kawasan lapangan terbang berdekatab dapat mengambil tindakan segera dengan membina atau menaik taraf sistem longkang bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Tebing Tinggi, Nik Muhammad Dhani Haikal, 20, mendakwa, masalah yang berlaku setiap tahun itu bukan sahaja menyusahkan penduduk malah menimbulkan rasa tidak selesa disebabkan keadaan persekitaran yang berair dan berbau.

“Kalau boleh pihak yang bertanggungjawab datang tengok sendiri keadaan di sini. Masalah ini sudah banyak kali berlaku tetapi sehingga sekarang masih belum ada penyelesaian yang dapat mengatasi punca sebenar,” dakwanya.

IMedikel TV akan mendapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan termasuk pemimpin dan agensi berkaitan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here