Home Hiburan RAKAMAN CCTV BUKA MATA WAWA, ANAK RUPANYA DIBULI

RAKAMAN CCTV BUKA MATA WAWA, ANAK RUPANYA DIBULI

KUALA LUMPUR: Hati pelakon dan usahawan, Wawa Zainal luluh apabila menyaksikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian membabitkan anak lelakinya, Ahmad Fakhruddin Attar, yang didakwa menjadi mangsa buli di sekolah.

Memetik laporan Berita Harian, lebih meruntun perasaan, Wawa mengakui terkilan kerana sebelum ini tidak mengambil tindakan lanjut setiap kali anaknya mengadu berdepan perbuatan kasar rakan sekolah, termasuk tangan dipulas dan ditumbuk.

Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 34, berkata, sebagai ibu, dia berasa kesal kerana tidak menyedari pengalaman dilalui anaknya itu sehingga rakaman CCTV berkenaan diteliti.

Bagaimanapun, menerusi perkongsian di Threads, hari ini, Wawa bersyukur apabila pihak pengurusan sekolah dan guru mengambil tindakan segera serta memandang serius insiden berkenaan.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan dan guru-guru kerana mengambil tindakan segera serta memandang serius isu buli yang membabitkan anak kami.

“Apabila melihat semula rakaman CCTV, sebagai seorang ibu, luluh hati melihat apa yang anak sendiri lalui di sekolah,” tulisnya. 

Dalam hantaran sama, Wawa turut memohon maaf kepada Attar kerana sebelum ini tidak mengambil tindakan sewajarnya setiap kali anaknya mengadu berdepan perbuatan kasar rakan sekolah.

“Buat Attar anak mama, mama minta maaf! Maafkan mama kerana sebelum ini tidak mengambil tindakan selanjutnya setiap kali abang bercerita tangan selalu dipulas dan ditumbuk manja oleh kawan.

“Kononnya nak jadikan abang kuat untuk menghadapi kerasnya dunia,” tulisnya.

Pada masa sama, Wawa berharap kejadian yang menimpa anaknya itu menjadi pengajaran kepada ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku dan setiap aduan anak-anak, selain tidak memandang ringan perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai buli.

Katanya, ibu bapa bukan sahaja perlu memastikan anak tidak menjadi mangsa buli, malah perlu mendidik mereka agar tidak menjadi pelaku.

“Semoga perkara ini menjadi pengajaran buat kita semua, termasuk diri saya sendiri sebagai ibu bapa.

“Sama-sama kita lebih peka, mendengar dan memantau anak-anak. Bukan sahaja memastikan anak kita tidak menjadi mangsa buli, tetapi juga memastikan anak kita tidak menjadi pelaku buli.

“Didiklah anak-anak tentang empati, menghormati orang lain dan memahami batas dalam bergurau. Apa yang dianggap gurauan oleh seseorang kadang-kadang sebenarnya sudah melebihi batas!

“Semoga ibu bapa dan pihak sekolah terus berganding bahu dalam membendung budaya buli serta mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita,” katanya.

Terdahulu, Wawa mendakwa anak lelakinya itu pernah menjadi mangsa buli rakan sekolah, sekali gus mendorongnya menyuarakan kebimbangan kepada suaminya yang juga pelakon, Aeril Zafrel.

Bagaimanapun, Wawa berkongsi, Aeril pada awalnya menganggap perbuatan berkenaan sebagai gurauan biasa dalam kalangan kanak-kanak lelaki, selain berpendapat anak mereka perlu belajar menghadapi cabaran kehidupan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here