Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang wanita Orang Asli berusia 35 tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh di atas batu di pinggir Sungai Besar, Kampung Peng, Pos Balar, di sini, malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mangsa dikatakan dalam perjalanan bersama keluarganya untuk memancing di sungai berkenaan sebelum terjatuh sebaik tiba di lokasi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 25 November lalu.
“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan membantu membawa keluar mangsa dari lokasi kejadian untuk dihantar ke Hospital Gua Musang.
“Tindakan itu dilakukan berikutan keadaan jalan yang agak teruk susulan hujan lebat,” katanya.
Menurut beliau kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh mengganggu siasatan serta menyentuh sensitiviti keluarga mangsa.
Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di kawasan sungai dan kawasan tinggi.
IMedikel TV






