Home Luar Negara LORI TANGKI MINYAK TERBALIK, TERBAKAR DI KAHERAH: 31 MAUT

LORI TANGKI MINYAK TERBALIK, TERBAKAR DI KAHERAH: 31 MAUT

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 31 orang maut dalam kebakaran di ibu negara Mesir, Kaherah, pada Rabu, menurut Kementerian Kesihatan, selepas sebuah lori tangki minyak dilaporkan terbalik di lebuh raya yang sesak.

Rakaman AFP menunjukkan bola api besar dan kepulan asap hitam tebal menjulang di kawasan Al-Waraq yang padat dengan penduduk.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pemandu kenderaan membunyikan hon dan bertempiaran lari menyelamatkan diri. Bangunan di sekitar lokasi kejadian dilaporkan tidak terjejas akibat kebakaran itu.

Media kerajaan melaporkan kebakaran tercetus selepas sebuah lori yang membawa muatan bahan api terbalik di Jalan Lingkaran Kaherah. 

Lebuh raya sibuk itu menghubungkan beberapa kawasan di ibu negara itu, sebelum terbakar dan menyebabkan kenderaan berhampiran turut dijilat api.

Kementerian Kesihatan berkata, sebanyak 39 ambulans dihantar ke lokasi kejadian manakala 15 mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan, dengan empat daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.

“Keadaan di tempat kejadian amat mengerikan,” kata Abdel Rahman Khalil kepada AFP, sambil memberitahu beliau tiba sejurus selepas kemalangan itu berlaku dan melihat lori tangki minyak yang terbalik itu terbakar.

Gambar AFP menunjukkan keadaan selepas kejadian dengan beberapa kereta hangus terbakar, manakala anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran pada bangkai lori berkenaan.

Pendakwa Raya Mesir berkata, siasatan sudah dibuka, manakala ujian DNA dijalankan bagi mengenal pasti mangsa yang rentung.

Kementerian Kesihatan berkata, tahap kesiapsiagaan kecemasan ditingkatkan, manakala Menteri Kesihatan, Khaled Abdel Ghaffar, turut bergegas ke lokasi kejadian dan hospital berhampiran.

Rakaman yang disiarkan Al-Qahera News menunjukkan bangkai lori yang hangus dibawa keluar dari lokasi kejadian, sementara aliran trafik mula dibuka semula secara berperingkat di kawasan berkenaan.

Jurucakap Kabinet Mesir memberitahu media tempatan bahawa Perdana Menteri, Mostafa Madbouly, mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

Beliau berkata, kerajaan sedang menunggu laporan lengkap sebelum menentukan langkah seterusnya berhubung pengangkutan produk petroleum serta memastikan keselamatan dan kawalan sepanjang operasi pengangkutan berkenaan. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here