PETALING JAYA: Pengalaman luas Bojan Hodak dalam kancah bola sepak Malaysia dan Asia Tenggara menjadi taruhan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa perubahan positif kepada skuad Harimau Malaya.
Memetik laporan Berita Harian, Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, rekod kejayaan pengendali kelahiran Croatia itu bersama beberapa kelab tempatan dan luar negara membuktikan beliau memiliki kemampuan untuk membentuk pasukan kompetitif serta mencabar kejayaan di pentas antarabangsa.
Menurutnya, kelebihan Hodak yang cukup mengenali persekitaran bola sepak tempatan termasuk karakter dan potensi pemain Malaysia menjadi antara faktor penting yang mendorong pemilihan jurulatih berusia 55 tahun itu.
“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara adalah satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya.
Ab Ghani berkata demikian selepas FAM mengumumkan pelantikan Hodak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Peter Cklamovski yang berpisah dengan badan induk itu secara persetujuan bersama pada 16 Jun lalu.
Hodak bukan nama asing dalam bola sepak tempatan apabila pernah mengendalikan UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, selain membimbing skuad Bawah 19 (B-19) negara dari 2017 hingga 2019.
Antara pencapaian terbesar beliau adalah ketika membimbing Kelantan meraih kejuaraan treble domestik pada 2012 menerusi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Beliau kemudian membawa JDT menjulang gelaran Liga Super 2014 sebelum mencipta sejarah bersama Kuala Lumpur City FC apabila menamatkan penantian 32 tahun kelab itu untuk memenangi Piala Malaysia pada 2021, selain mara ke final Piala AFC 2022.
Di pentas antarabangsa, Hodak turut menghadiahkan kejuaraan Kejuaraan B-19 AFF 2018 kepada Malaysia selepas membimbing skuad muda negara muncul juara di Surabaya, Indonesia.
Pengalaman kejurulatihannya turut merangkumi kelab Phnom Penh Crown di Kemboja dan PSM Makassar di Indonesia sebelum mengemudi Persib Bandung, yang dibantunya meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh bersama kelab berkenaan.
Sementara itu, FAM turut mengumumkan Tan Cheng Hoe yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai pengendali interim Harimau Malaya sejak 25 Jun lalu akan meneruskan khidmat bersama badan induk itu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
Pelantikan Cheng Hoe sebagai pengendali interim dibuat selepas Cklamovski meninggalkan jawatan berkenaan pada 16 Jun lalu.
FAM turut merakamkan penghargaan kepada Cheng Hoe atas komitmen dan kesediaannya memikul tanggungjawab mengendalikan skuad kebangsaan sepanjang tempoh interim berkenaan. – BH Online –
IMedikelTV






