Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Pengamal media disifatkan sebagai rakan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membantu menyampaikan maklumat serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai agenda reformasi sistem kesihatan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peranan media bukan sekadar melaporkan perkembangan semasa, malah turut membantu menterjemahkan isu kesihatan yang kompleks kepada maklumat lebih mudah difahami masyarakat.
Menurutnya, kerjasama media amat penting ketika negara berdepan cabaran penyakit tidak berjangkit (NCD) yang disifatkan sebagai satu lagi pandemik senyap dan mengorbankan kira-kira 96,000 rakyat Malaysia setiap tahun.
Katanya, kesedaran masyarakat mengenai risiko penyakit berkenaan perlu terus dipertingkatkan melalui pelaporan berita, dokumentari dan penerangan yang jelas serta berkesan.
“Kita sudah berdepan pandemik penyakit berjangkit sebelum ini, tetapi cabaran lebih besar yang sedang berlaku ialah pandemik penyakit tidak berjangkit atau NCD.
“Saya melihat media sebagai rakan strategik untuk membantu memberikan pencerahan, meningkatkan literasi kesihatan dan menyampaikan maklumat kepada seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Bersama Menteri Kesihatan Tahun 2026 di Hotel Impiana KLCC, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, antara agenda reformasi utama KKM ialah pendigitalan keseluruhan ekosistem kesihatan menerusi pelaksanaan rekod kesihatan elektronik kebangsaan yang membolehkan setiap rakyat mempunyai satu rekod kesihatan bersepadu.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan perkongsian maklumat pesakit dapat dilaksanakan antara fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta, sekali gus membantu mempercepatkan proses membuat keputusan klinikal serta meningkatkan mutu rawatan.
Beliau berkata, KKM turut memberi tumpuan kepada empat agenda utama termasuk pendigitalan, pemodenan sistem kesihatan, reformasi sumber manusia serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Selain itu, kementerian juga memberi perhatian kepada beberapa bidang khusus termasuk pemindahan organ dan kesihatan paru-paru,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, media turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap dasar serta perundangan berkaitan kesihatan, termasuk pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Laporan kewartawanan yang berkualiti bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah mampu mendorong perubahan tingkah laku masyarakat ke arah amalan hidup lebih sihat.
Sehubungan itu, beliau berharap pengamal media terus menghasilkan laporan yang berimpak tinggi, bertanggungjawab dan berupaya menjadikan isu kesihatan sebagai perbincangan penting dalam kehidupan seharian masyarakat.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan penganjuran Anugerah Media Kesihatan 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pengamal media dalam mengangkat agenda kewartawanan kesihatan negara.
Katanya, penilaian bagi lima anugerah berkenaan akan dilaksanakan oleh pihak ketiga menerusi kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) bagi memastikan proses pemilihan dikendalikan secara profesional.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam membantu KKM menyampaikan maklumat kesihatan kepada rakyat.
IMedikel TV






