Oleh Wartawan IMedikel TV
PENANG: Seramai 202 sukarelawan peperiksaan dilantik bagi membantu melancarkan pengurusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Pulau Pinang, sekali gus mengurangkan beban tugas guru yang mengendalikan peperiksaan awam itu.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad, berkata pelantikan sukarelawan itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memasuki tahun keempat pelaksanaannya bagi membantu guru melaksanakan tugas berkaitan peperiksaan.
Katanya, sukarelawan berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), Institut Pendidikan Guru (IPG) serta individu yang berminat, selain diberikan taklimat sebelum ditempatkan di pusat peperiksaan.
“Pada tahun ini, kita berjaya melantik 202 sukarelawan peperiksaan di seluruh Pulau Pinang. Mereka bukan menggantikan tugas pegawai peperiksaan daripada kalangan guru, sebaliknya membantu melaksanakan tugasan mengikut skop yang ditetapkan.
“Inisiatif ini diwujudkan bagi mengurangkan beban guru, terutama ketika musim peperiksaan yang memerlukan mereka bertugas walaupun ketika cuti sekolah,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al-Mashoor bagi meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM, hari ini.
Jelasnya, semua sukarelawan yang dilantik turut menerima elaun sebagai penghargaan atas khidmat mereka sepanjang tempoh peperiksaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah itu masih belum mencapai sasaran KPM yang mahu kira-kira 30 peratus petugas peperiksaan diisi oleh sukarelawan.

“Kita berharap lebih ramai tampil menyertai inisiatif ini pada masa akan datang kerana sambutan yang diterima setakat ini amat positif dan dapat membantu melancarkan pengurusan peperiksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Dziauddin berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang turut memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gangguan akibat Monsun Timur Laut (MTL) sepanjang tempoh peperiksaan bertulis SPM berlangsung.
Katanya, beberapa pelan tindakan telah disediakan termasuk Ops Payung bagi menghadapi risiko banjir, selain Ops Jerebu, Ops Gempa dan Ops Wabak bagi menangani situasi luar jangka yang boleh menjejaskan perjalanan peperiksaan.
Beliau berkata, penyelarasan bersama pelbagai agensi berkaitan sudah dilaksanakan lebih awal bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku bencana atau gangguan di pusat peperiksaan.
“Antara perkara yang kita beri perhatian ialah sekiranya calon tidak dapat mengakses pusat peperiksaan akibat banjir, terkandas di pusat pemindahan sementara atau berlaku gangguan kepada pergerakan petugas peperiksaan.
“Kita juga mengambil kira kemungkinan petugas tidak dapat keluar dari rumah atau bergerak ke pusat peperiksaan serta isu berkaitan akses ke bilik kebal penyimpanan kertas soalan,” katanya.
Menurutnya, semua persediaan itu dibuat bagi memastikan tiada calon tercicir daripada menduduki peperiksaan walaupun berdepan keadaan luar jangka.
Katanya, Pulau Pinang mempunyai seramai 19,439 calon SPM 2026 yang menduduki peperiksaan di 154 pusat peperiksaan termasuk 16 pusat peperiksaan di hospital.
Peperiksaan ujian bertulis SPM 2026 bermula 23 November hingga 17 Disember ini dengan seramai 420,879 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan awam itu di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.
IMedikel TV






