Home Buletin Semasa LELAKI CEDERA DALAM KEBAKARAN, LIMA SEKELUARGA HILANG TEMPAT BERTEDUH

LELAKI CEDERA DALAM KEBAKARAN, LIMA SEKELUARGA HILANG TEMPAT BERTEDUH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Lima sekeluarga terselamat apabila rumah didiami mereka di Kampung Mengkuang, Bukit Mertajam di sini, hampir musnah dalam kebakaran malam tadi, namun seorang lelaki mengalami kecederaan pada mata kiri dalam kejadian itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti bersama BBP Bukit Mertajam dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, sebaik tiba, bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas C di Lorong Mengkuang Semarak 3 yang musnah kira-kira 80 peratus.

“Komander Operasi kemudian mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) mengaplikasikan konsep RECEO menggunakan kaedah pemadaman secara ofensif dan defensif bagi mengawal api daripada terus merebak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.11 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.13 malam.

 “Kerja-kerja overhaul kemudian dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

John Sagun berkata, seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan pada mata kiri dan mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dengan menaiki kenderaan persendirian.

“Ketika kejadian, rumah itu didiami lima penghuni membabitkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Bagaimanapun, hanya seorang penghuni dilaporkan cedera, manakala yang lain terselamat,” katanya.

Beliau berkata, operasi membabitkan 11 anggota dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas, Bukit Mertajam, Berapit dan Cross Street.

Katanya, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO), manakala Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut menghulurkan khidmat nasihat dan bantuan kepada pemilik rumah mengikut keperluan semasa.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here