Home Buletin Semasa MDTM ARAH TUTUP KEDAI RUNCIT SERTA-MERTA, SITA PREMIS BEROPERASI TANPA LESEN

MDTM ARAH TUTUP KEDAI RUNCIT SERTA-MERTA, SITA PREMIS BEROPERASI TANPA LESEN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) mengambil tindakan tegas terhadap dua premis perniagaan yang didapati melanggar peraturan pelesenan menerusi operasi penguatkuasaan di daerah itu, pada Selasa.

Dalam operasi bersepadu yang membabitkan Bahagian Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MDTM itu, sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Mas dikenakan Perintah Tutup Premis Serta-Merta selepas didapati melakukan beberapa kesalahan.

“Tindakan berkenaan dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 43(1), Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDTM) 2019.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menggajikan pekerja asing yang memiliki permit kerja bagi lokasi berbeza dan tidak mematuhi alamat tempat kerja yang didaftarkan dengan Jabatan Imigresen,” menurut kenyataan MDTM.

Menurut MDTM, selain itu, premis berkenaan turut didapati gagal memastikan tahap kebersihan berada pada tahap yang ditetapkan.

Dalam operasi sama, MDTM turut menyita sebuah lagi premis di Jalan Banggol kerana menjalankan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan tanpa lesen sah daripada pihak majlis.

MDTM dalam kenyataannya menegaskan pemantauan serta operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha perniagaan di daerah itu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Langkah itu penting bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan pengguna, selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang teratur dan mematuhi ketetapan pihak berkuasa tempatan,” menurut MDTM.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here