Home Buletin Semasa MBK, MEDIA ERAT HUBUNGAN BENTUK HUBUNGAN DUA HALA

MBK, MEDIA ERAT HUBUNGAN BENTUK HUBUNGAN DUA HALA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Hubungan erat antara Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan pengamal media menjadi platform penting dalam membantu menyampaikan aduan serta menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi masyarakat di daerah ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli, berkata kerjasama baik yang terjalin sejak sekian lama itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam memastikan isu berkaitan kepentingan awam mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

Menurutnya, masyarakat kini lebih cenderung menyalurkan aduan kepada pihak media dengan harapan isu berkenaan dapat disampaikan terus kepada MBK untuk tindakan lanjut.

Antara aduan yang sering mendapat perhatian termasuk masalah longkang tersumbat, pokok tumbang, pembuangan sampah, lampu jalan serta kemudahan tempat letak kenderaan yang dilaporkan menerusi media cetak dan media sosial.

“Kita tidak pernah menyalahkan media apabila berita berkaitan MBK disiarkan kerana sudah menjadi tanggungjawab media untuk melaporkan perkara baik mahupun kelemahan setiap agensi.

“Sebaliknya, laporan berkenaan membantu kita mengenal pasti masalah yang berlaku dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Datuk Bandar Kuantan Bersama Pihak Media, di sini, semalam.

Majlis berkenaan menghimpunkan seramai 61 wakil media daripada pelbagai agensi, selain diserikan dengan persembahan nyanyian dan 20 cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan elektrik.

Zaliza berkata, penganjuran program berkenaan merupakan kesinambungan usaha MBK mengeratkan hubungan dengan pengamal media selepas sebelum ini menganjurkan pertandingan boling bersama golongan berkenaan.

Katanya, perkembangan teknologi menjadikan media sosial semakin pantas dalam menyampaikan maklumat berbanding media cetak, sekali gus menuntut semua pihak menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta meningkatkan kecekapan dalam mengambil tindakan.

Beliau turut melahirkan penghargaan atas sambutan menggalakkan daripada pengamal media yang hadir dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan dengan pengisian lebih menarik.

“Pada tahun depan, kita mungkin mengadakan acara sukan yang mampu menghimpunkan lebih ramai pengamal media di negeri ini,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here