Penyertaannya dalam program Talk To My Manager (TTMM) pada 2025 berjaya memperkenalkan nama Hadie Elfardie kepada peminat industri hiburan tanah air.
Memetik Laporan Harian Metro, Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui Hadie Elfardie, 19, muncul lebih awal dalam bidang nyanyian bersama bapanya, Allahyarham Suhaimi Saad menerusi album nasyid yang turut menampilkan adik-beradiknya dikenali sebagai Bismillah pada 2021.
Pemergian bapanya pada 2023 meninggalkan kesan besar buat Hadie atau nama sebenar Ehmad Hadie Elfardie, 19, dan kini bersama adiknya, Sallman ElKhoyri tampil dengan single berjudul Doa Buat Ayah.
Hadie berkata, lagu yang asalnya berjudul Doa Buat Ibu ini diberi nafas baru dan ditukar tajuknya sebagai mengenang jasa bapanya terhadap mereka.
“Doa Buat Ayah adalah sebuah karya yang sarat dengan kasih sayang, doa dan kerinduan kami terhadap arwah ayah. Ia adalah tanda ingatan kami yang sentiasa mengalir di fikiran.
“Lagu ini memang istimewa kerana merupakan hasil ciptaan dan lirik ayah sendiri. Memang asalnya berjudul Doa Buat Ibu, tapi kami suntik nafas baharu sebagai sebuah penghormatan buat insan yang telah pergi. “Doa Buat Ayah sekali gus menjadi wadah untuk kami meluahkan rasa rindu terhadap arwah ayah tercinta yang banyak membentuk dan mendidik keperibadian kami,” katanya.
Menurutnya, versi audio lagu ini sudah dilancarkan pada 10 Oktober 2026, manakala muzik videonya pula menyusul dua hari kemudian.
“Tarikh 12 Oktober sebenarnya mempunyai makna tersendiri kerana sama dengan tarikh lahir arwah ayah dan Sallman. Ia akan menjadi kenangan istimewa buat kami.
“Kami bersyukur kerana dalam tempoh kira-kira seminggu sejak pelancaran muzik video Doa Buat Ayah, ia berjaya meraih 40,000 tontonan peminat.
“Apa yang berlaku jelas membuktikan bahawa karya yang lahir daripada kasih sayang sebuah keluarga mampu mendapat tempat di hati peminat,” katanya lagi.
Katanya, daripada maklum balas, rata-rata peminat yang menonton muzik video ini meluahkan rasa sebak dan terharu apabila lagu ini mempunyai hubungan begitu dekat dengan kehidupan mereka sendiri.
“Keistimewaan lagu ini bukan sekadar terletak pada melodinya, tetapi pada kisah sebenar di sebalik setiap bait yang membawa makna kehilangan, doa dan kerinduan seorang anak terhadap ayahnya.
“Sebenarnya proses rakaman lagu ini berlangsung dalam tempoh begitu singkat. Namun, di sebalik kelancaran proses ini, suasana rakaman turut diselubungi emosi mendalam.
“Ia kerana ibu kami (Ina Naim) tidak dapat menahan sebak ketika menyaksikan rakaman lagu berkenaan dan kami pun turut terkesan,” katanya.
Sementara itu, Sallman pula berkata, lagu ini membawa makna yang sangat mendalam kerana ia mengingatkan dirinya kepada arwah bapa yang amat dirindui.
“Lagu ini mengingatkan saya kepada ayah. Rindu itu tak pernah padam. Walaupun ayah sudah tiada, kenangan dan kasih sayang ayah akan sentiasa hidup dalam hati kami,” katanya.
Kemunculan semula karya ini dalam versi “Doa Buat Ayah” turut menjadi satu kesinambungan legasi seni Allahyarham Suhaimi Saad.
“Kami ingin sampaikan mesej bahawa ia bukan sekadar sebuah lagu tentang kehilangan, sebaliknya sebuah peringatan bahawa kasih sayang seorang ayah tidak pernah terpadam meskipun jasadnya telah tiada.
“Doa, kenangan dan segala pengorbanan ayah akan terus hidup dalam kami semua yang ditinggalkannya.
“Semoga karya ini menjadi pengubat rindu buat mereka yang kehilangan insan tersayang, selain mengajak pendengar untuk terus menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada,” katanya.- HMetro Online-
IMedikelTV






