BANGKOK: Penemuan ‘ikan zombi’ yang mengalami pembengkakan seperti lepuh, luka dan perubahan warna pada sirip di Sungai Mekong menimbulkan kebimbangan kemungkinan pencemaran arsenik serta logam berat lain di sungai berkenaan.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Aktivis alam sekitar, Aombun Thipsuna, berkongsi gambar ikan ‘pla khae’ (ikan keli) yang terjejas pada 14 November lalu, dengan penduduk setempat menggelarnya sebagai ikan zombi berikutan penampilannya yang luar biasa.
Beliau percaya, pencemaran logam berat mungkin melemahkan sistem imun ikan dan menjadikannya lebih mudah terdedah kepada penyakit, namun punca sebenar keadaan itu masih belum disahkan.
Menurut Aombun, nelayan tempatan sudah menemui ikan dengan keadaan tidak normal yang sama sejak tempoh selepas pandemik COVID-19, selain pemantauan Jabatan Kawalan Pencemaran Wilayah 9 di Udon Thani merekodkan peningkatan kepekatan logam berat di Sungai Mekong sejak 2023.
“Tahap pencemaran meningkat dengan lebih ketara antara 2024 hingga 2026, manakala bacaan arsenik pada Ogos lalu menunjukkan paras tiga hingga empat kali ganda melebihi had piawaian 0.01 miligram (mg) seliter di kawasan Loei dan Nong Khai.
“Kami bersama nelayan tempatan mengumpulkan hampir 60 ekor ikan untuk pemeriksaan di Universiti Naresuan dengan kira-kira enam daripadanya mengalami lepuh dan luka ketara, manakala 30 hingga 40 ekor lagi menunjukkan gejala awal seperti kemerahan pada sirip dan ekor serta kemunculan lepuh kecil,” katanya.
Susulan kejadian itu, beliau bimbang keadaan ikan berkenaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya terus berada di dalam sungai, malah sesetengah ikan pla khae yang boleh membesar sehingga 60 kilogram (kg) dilaporkan mengalami penyakit serius atau mati sebelum mencapai usia matang.
Aombun turut memberi amaran bahawa pencemaran air sungai boleh mengancam sektor pertanian dan komuniti yang bergantung kepada Sungai Mekong, termasuk hampir 2,500 stesen pengepaman air di sepanjang sungai itu merentasi tujuh wilayah di timur laut Thailand yang membekalkan air untuk kegunaan pertanian.
Katanya, hasil tanaman menggunakan sumber air berkenaan turut diedarkan ke pasar utama termasuk Pasar Si Mum Mueang dan Talad Thai, manakala ujian di beberapa kawasan daerah Sangkhom dan Phon Phisai di Nong Khai didakwa mendapati bekalan air komuniti tidak memenuhi piawaian kualiti.
“Aktiviti perlombongan yang membabitkan pelabur asing di negara jiran antara sumber kemasukan logam berat ke Sungai Mekong, termasuk kegiatan yang dikaitkan dengan kepentingan China, Myanmar dan Laos berhampiran anak sungai Sung dan Ngum dengan sisa operasi berkenaan didakwa mengalir ke sungai itu,” dakwanya. – AGENSI, HMetro –
IMedikelTV






