Home Sukan RONALDINHO CETUS FENOMENA, RAVENNA KAUT RM903,000

RONALDINHO CETUS FENOMENA, RAVENNA KAUT RM903,000

RAVENNA: Kepulangan legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho ke gelanggang profesional pada usia 46 tahun bukan sahaja mencuri tumpuan peminat, malah memberikan pulangan lumayan kepada kelab Itali, Ravenna apabila menjana hampir 200,000 euro (RM903,000) hasil jualan tiket.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Kelab Serie C itu mengesahkan jumlah berkenaan diraih menerusi perlawanan menentang Forli yang menyaksikan Ravenna mencatat kemenangan 2-0, sekali gus membuktikan tarikan luar biasa bekas pemenang Ballon d’Or itu.

Seramai 6,743 penonton membanjiri Stadium Benelli untuk menyaksikan kemunculan semula Ronaldinho, dengan kelab turut menyediakan tempat duduk sementara dinamakan Tribuna R10 bagi menampung permintaan tinggi.

Harga tiket ditawarkan antara 10 euro (RM45) untuk kanak-kanak bawah 14 tahun, 15 euro (RM67) bagi tempat duduk biasa dan sehingga 150 euro (RM677) untuk pakej hospitaliti premium.

Ronaldinho yang menyertai Ravenna sebagai pelabur pada Ogos lalu diturunkan sebagai pemain tengah menyerang dan beraksi sepanjang babak pertama.

Dia turut memainkan peranan dalam gerakan yang menghasilkan gol pembukaan menerusi Giulio Donati sebelum digantikan ketika rehat.

“Seronok dapat berada di sini, bermain dan merasai semula suasana di bilik persalinan. Bola sepak sentiasa menjadi perkara paling indah dalam hidup saya.

“Jika presiden menghubungi saya, saya akan kembali,” katanya selepas perlawanan.

Ronaldinho yang bersara daripada bola sepak peringkat tertinggi pada 2018 turut berkongsi padang bersama bekas rakan sepasukan Brazil, Dida ketika waktu rehat.

Ravenna kini menduduki tangga kedua kumpulan Serie C dan hasil jualan tiket itu dijangka memberi suntikan kewangan kepada kelab dalam usaha memburu kenaikan ke divisyen lebih tinggi. – AGENSI, HMetro –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here