Home Luar Negara PENDERITAAN RAKYAT MYANMAR CAPAI TAHAP AMAT SERIUS – GUTERRES

PENDERITAAN RAKYAT MYANMAR CAPAI TAHAP AMAT SERIUS – GUTERRES

MANILA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, hari ini memberi amaran bahawa penderitaan rakyat Myanmar kini mencapai tahap sangat serius, sambil menggesa semua pihak di negara itu melindungi orang awam dan membenarkan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Memetik laporan Bernama menerusi Berita Harian, Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB terakhir beliau sebagai Setiausaha Agung, Guterres menegaskan semula sokongan PBB terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN dan menggesa penyelesaian politik yang inklusif serta diterajui Myanmar bagi menangani punca utama krisis, menamatkan keganasan serta menjamin rakyatnya dapat menikmati hak mereka secara bebas dan aman.

“Saya menggesa semua pihak supaya melindungi orang awam, mematuhi undang-undang antarabangsa, dan membenarkan akses bantuan kemanusiaan yang selamat, berterusan serta tanpa halangan,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB Ke-16, di sini.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menghadiri sidang kemuncak itu.

Dalam pada itu, Guterres turut memuji usaha ASEAN dalam membantu mengekalkan gencatan senjata antara Kemboja dengan Thailand, selain kemajuan rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.

Menyentuh mengenai cabaran lebih luas pula, beliau berkata, konflik, perubahan iklim, peningkatan keperluan bantuan kemanusiaan, krisis kos sara hidup, tarif dan kos tenaga terus memberi tekanan kepada rantau ini.

Beliau turut menegaskan semula komitmen tanpa syarat PBB untuk mempertahankan hak dan kebebasan pelayaran.

Guterres menggesa pembaharuan Majlis Keselamatan PBB dan institusi kewangan antarabangsa supaya lebih mencerminkan kekuatan ekonomi rantau ini, selain memperkukuhkan mekanisme perlindungan kewangan bagi menghadapi kejutan ekonomi.

Beliau turut menyeru peningkatan daya tahan terhadap perubahan iklim, peralihan yang adil kepada tenaga boleh diperbaharui, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab, serta usaha merapatkan jurang digital.

“Dunia yang semakin bersifat multipolar memerlukan sistem pelbagai hala yang mampu menyokong serta mewakili secara berkesan kuasa ekonomi dan politik yang semakin meningkat seperti negara-negara anda,” katanya.

Mengimbau penyertaan pertama beliau dalam Sidang Kemuncak ASEAN-PBB sebagai Setiausaha Agung di Manila pada 2017, Guterres berkata, kerjasama kedua-dua pihak telah berkembang merangkumi latihan pengaman, hak asasi manusia, daya tahan iklim dan teknologi, dengan pelan tindakan baharu terus memperkukuhkan kerjasama itu.

Guterres akan menamatkan penggalnya sebagai Setiausaha Agung PBB kesembilan pada 31 Disember depan. – BERNAMA, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here