Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menawarkan dua pilihan kelas perjalanan iaitu kelas ekonomi dan kelas perniagaan (business class), bagi memenuhi keperluan serta keselesaan penumpang.
Ketua Kru Perkhidmatan Dalaman, Mohd Fadzli Mohd Ibrahim berkata, kemudahan itu disediakan menerusi beberapa konfigurasi tren, termasuk tren yang menggunakan sepenuhnya kelas ekonomi dan tren yang menggabungkan kedua-dua kelas berkenaan.
Menurutnya, setiap tren mempunyai lima gerabak dengan kapasiti maksimum sehingga 425 penumpang bagi konfigurasi kelas ekonomi sepenuhnya.
“Bagi tren yang menawarkan kelas perniagaan pula, kapasiti keseluruhan adalah 409 penumpang, merangkumi 52 tempat duduk kelas perniagaan dan 357 tempat duduk kelas ekonomi, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan kepada penumpang sepanjang
Program Percubaan Perjalanan Tren Electric Multiple Unit (EMU) ECRL 2026, dari Stesen ECRL Kota Bharu ke Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Fadzli berkata, antara kemudahan yang disediakan termasuk dua jenis tandas iaitu tandas duduk dan tandas cangkung, selain surau yang terletak di gerabak keempat.
“Surau berkenaan turut dilengkapi kemudahan mengambil wuduk dengan reka bentuk khas bagi memudahkan penumpang membersihkan kaki tanpa menyebabkan kawasan sekeliling basah.
“Selain itu, perkhidmatan makanan turut disediakan dengan penumpang kelas perniagaan akan menikmati kemudahan makanan, manakala bagi kelas ekonomi, kaedah tempahan awal atau pre-order ketika pembelian tiket masih dalam perancangan,” katanya
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan ECRL menyediakan dua jenis perkhidmatan perjalanan iaitu tren ekspres yang hanya berhenti di tiga stesen utama dan tren yang berhenti di semua stesen terpilih.
Bagi perkhidmatan ekspres, tren dari Gombak akan berhenti di Kota SAS, Kuala Terengganu dan seterusnya Kota Bharu, manakala perjalanan arah bertentangan mengikut laluan sama.
Sementara itu, perkhidmatan yang berhenti di semua stesen membabitkan keseluruhan 16 stesen sepanjang laluan ECRL.
Beliau berkata, perjalanan percubaan pada hari berkenaan membawa kira-kira 172 penumpang daripada pelbagai agensi, dengan kebanyakannya berpeluang merasai pengalaman menaiki tren berkenaan buat kali pertama.
IMedikel TV






