Home Buletin Semasa HOSPITAL PENGAJAR USIM RM900 JUTA DI SEDILI MULA DIBINA TAHUN DEPAN

HOSPITAL PENGAJAR USIM RM900 JUTA DI SEDILI MULA DIBINA TAHUN DEPAN

Oleh : Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI: Projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bernilai kira-kira RM900 juta di Sedili, di sini, dijangka memulakan kerja pembinaan pada tahun depan.

Menteri Pertahanan (MINDEF), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses pemilihan kontraktor bagi pembinaan Hospital Pengajar itu sudah selesai.

Katanya pihak terbabit perlu mengemukakan pelan sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan.

“Projek berkenaan dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan selepas kerja pembinaan bermula.

“Saya difahamkan kontraktor sudah dipilih dan dengan demikian, apabila sudah ada kontraktor, saya percaya tahun depan projek itu boleh dimulakan.

“Insa’Allah, saya akan cuba minta disegerakan. Saya percaya mereka perlu mengemukakan pelan dan sebagainya, tetapi pokoknya tahun depan sudah boleh mula kerja tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Panchor, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pembinaannya bukan sahaja penting untuk melahirkan lebih ramai doktor dan pakar perubatan.

Malah katanya ia berperanan sebagai pusat penyelidikan bagi menghasilkan penemuan baharu dalam bidang kesihatan.

“Cadangan membina hospital pengajar USIM di Kota Tinggi ketika saya menjadi Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini, bertujuan memperluas penyelidikan kesihatan, khususnya membabitkan masyarakat luar bandar, termasuk penduduk FELDA dan komuniti nelayan.

“Kebanyakan hospital pengajar universiti ketika ini tertumpu di Lembah Klang dan beberapa negeri lain, justeru pembinaan fasiliti berkenaan di Johor dapat mengisi keperluan penyelidikan kesihatan di kawasan berkenaan.

“Kita mahu mengetahui penemuan ilmu baharu berkaitan penyakit dan sebagainya dalam kalangan masyarakat luar bandar, khususnya penduduk FELDA dan nelayan,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here