Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Lima warga Myanmar ditahan selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail yang dinaiki mereka diperiksa anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di hadapan Klinik Kesihatan Kampung Keroh, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di sini, awal pagi semalam.
Kesemua mereka terdiri daripada seorang lelaki yang bertindak sebagai pemandu dan empat wanita, dipercayai warga Myanmar, yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan kira-kira jam 3.45 pagi pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kesemua individu terbabit ditahan sebelum dibawa ke IPD Kuala Krai untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas sebuah SUV Nissan X-Trail dan sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai mengambil kesemua warga asing berkenaan di Kota Bharu sebelum membawa mereka ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan bayaran RM400,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 bagi setiap pendatang asing tanpa izin (PATI), atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Mazlan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran, termasuk menyediakan pengangkutan atau rumah sebagai tempat penginapan sementara kepada pendatang asing tanpa izin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menyalurkan maklumat menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
IMedikel TV






