Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Lebih 200 penduduk Taman Seri Inderapura dan sekitarnya diberi peluang untuk mengikuti program kempen Pendaftaran Awal Myibjkm di Dewan Seri Inderapura, di sini hari ini.
Program ‘Jom Daftar Myibjkm Di Telefon Anda’ dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan bertujuan memudahkan penduduk setempat mengemas kini maklumat Ketua Isi Rumah (KIR) sebelum bencana banjir berlaku.
Kebanyakan penduduk Taman Seri Inderapura dan sekitarnya telah mendaftar sebagai mangsa banjir pada 2024, hari ini mereka datang untuk menyemak. Ada juga yang kali pertama mendaftar.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, Raja Muhd Uliyamin Raja Yunus, berkata sebelum ini pihaknya mengadakan program sama dibeberapa tempat di daerah ini namun kurang mendapat sambutan.

Katanya, pihaknya tidak menyangka sambutan menggalakkan diterima pada program hari ini, hebahan hanya dilakukan menggunakan media sosial beberapa hari lalu.
“Rata-rata mereka yang datang berpuas hati dengan kelancaran program menyemak pendaftaran menggunakan telefon bimbityang diadakan, mereka sabar menunggu sambil dibantu oleh kakitangan JKM dan sukarelawan JKM.
“Kita akan terus mengadakan kempen pendaftaran awal bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko berlaku banjir,” katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Seri Inderapura, Rashid Mohamad berkata, program yang diadakan dapat membantu penduduk setempat menyemak semula pendaftaran mereka sebagai mangsa banjir yang layak menerima bantuan disediakan kerajaan.
“Hanya Ketua Isi Rumah (KIR) sahaja yang layak menerima bantuan berupah makanan kering selain keperluan asas lain.
“Pelbagai kemudahan yang disediakan JKM dalam membantu meringankan beban mangsa banjir, saya bagi pihak penduduk mengucapkan terima kasih pada kakitangan dan sukarelawan JKM,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI).
IMedikel TV






