LEXINGTON: Bayi lelaki berusia 11 bulan ditemui masih hidup selepas dipercayai ditanam selama hampir 24 jam di kawasan hutan, di Carolina Selatan, semalam.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Jabatan Syerif Daerah Lexington mengesahkan mangsa, Koah Sharpe, ditemui dalam keadaan dibalut tuala di dalam sangkar anjing yang ditimbus tanah dalam lubang.
Syerif Daerah Lexington, Jay Koon, memaklumkan penemuan bayi berkenaan yang sedang menangis disifatkan sebagai satu keajaiban susulan operasi pencarian besar-besaran yang dilancarkan pihak berkuasa.
Pihak polis mengesahkan bapa bayi berkenaan, Michael Comer, ditahan atas tuduhan pecah rumah serta mengelak penahanan, manakala pertuduhan tambahan berhubung kejadian penemuan bayinya sedang diselaraskan pejabat pendakwa raya.
Kejadian berlaku selepas bayi berkenaan dilaporkan hilang selepas ditinggalkan di bawah jagaan bapanya di kediaman ibunya.
Pasukan penyelamat menemui mangsa selepas mengesan kesan tanah yang baharu dikorek di kawasan hutan kira-kira 45 meter dari kediaman bapa Comer.
Mangsa kini dirawat di hospital tempatan dan berada dalam pemantauan rapi pasukan perubatan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






