Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Lalang Luas, Joh, Labok, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang kira-kira jam 3.45 petang, semalam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati polis menemui lima peket plastik mengandungi keseluruhan 1,000 biji pil yang disyaki dadah, terdiri daripada 990 pil berwarna merah dan 10 pil berwarna hijau.
Menurutnya, rampasan itu mempunyai anggaran berat kasar 106.70 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10,000.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati keputusan positif dadah.
“Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azuhar berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek berhubung barang kes yang dirampas.
*Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di hadapan Majistret Machang hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang boleh mendatangkan pelbagai kemudaratan.
Katanya, usaha membanteras jenayah narkotik akan terus dipergiatkan, manakala orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada balai polis berhampiran.
IMedikel TV






