Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kejadian banjir besar lima tahun lalu mendorong seorang pesara kerajaan membina rumah rakit menggunakan rangka besi dan 18 tong plastik biru bagi menempatkan pelbagai barangan elektrik dan perabot, jika kawasan rumahnya dinaiki air.
Husin Muhammad, 59, dari Kampung Telok Mahang, berhampiran Sungai Belat, di sini, berkata rumah rakit bersaiz 6×6 meter itu dihasilkan sebagai persediaan awal bagi mengelak kerugian.
Beliau berkata, dengan kemahiran yang ada dia mengambil masa kira-kira seminggu untuk membina rumah rakit itu dengan kos keseluruhan kira-kira RM7,000.
“Hampir setiap tahun kawasan Kampung Telok Mahang mengalami banjir dan bagi mengelak terus menanggung kerugian harta benda setiap tahun berikutan barangan elektrik dan perabot rosak, saya mengambil keputusan membina rumah rakit yang ditempatkan berhampiran rumah,” katanya, di sini semalam.
Menurut pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu, pada kejadian banjir besar lima tahun lalu dia terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membaiki tiga unit peti sejuk yang ditenggelami banjir, turut musnah beberapa barangan perabot.
Husin yang kini mengusahakan perniagaan satay berkata, selepas membina rumah rakit dia kini tidak lagi terlalu bimbang setiap kali tiba Monsun Timur Laut (MTL).
“Kedudukan rumah saya yang terletak terlalu hampir dengan parit besar dan Sungai Belat juga menjadi faktor banjir mudah berlaku, apabila hujan lebat berlaku secara berterusan dan bertembung dengan fenomena air pasang besar banjir akan berlaku.
“Sebelum tiba Monsun Timur Laut saya mula memindahkan pelbagai barangan keatas rumah rakit, ketika banjir berlaku saya hanya perlu pastikan rumah rakit tidak dibawa arus air,” katanya.
Tambahnya lagi, di Kampung Telok Mahang dan beberapa kampung berhampiran hanya beliau sahaja yang menggunakan rumah rakit bagi menyelamatkan barangan selain menjadi tempat berteduh mereka sekeluarga ketika banjir berlaku.
IMedikel TV






