Home Hiburan AUFAHANIE KEMBALI BERKARYA, TERSENYUM LAGI SIMPAN SERIBU MAKNA

AUFAHANIE KEMBALI BERKARYA, TERSENYUM LAGI SIMPAN SERIBU MAKNA

Dua tahun menyepi, penyanyi, Aufahanie kembali mewarnai industri hiburan tanah air apabila nekad meninggalkan kerjaya pramugari di sebuah syarikat penerbangan selepas pemergian abangnya, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar sekitar 2024.

Memetik laporan Harian Metro, Aufahanie atau Nur Aufahanie Mokhtar, 23, berkata, dia mengambil keputusan beralih kepada kerjaya pramugari ketika itu kerana diselubungi kesedihan setiap kali muncul di pentas gara-gara teringat arwah abangnya itu.

“Selepas abang Am (Afham) pergi, saya rasa ‘down’ dan tidak gembira kerana sebelum ini setiap kali menyanyi, abang Am selalu ada bersama saya. Apabila di pentas saya teringatkan arwah. Jadi, saya ambil keputusan bertukar bidang lain.

“Saya perlu bekerja dan mencari pendapatan sebab nak jaga kebajikan emak. Selepas abang Am pergi, cuma tinggal saya dengan kakak. Selepas hampir dua tahun terbang di awan biru (pramugari), kini saya sedia kembali mewarnai bidang nyanyian,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Aufahanie, walaupun dirinya berat untuk ambil keputusan berhenti dari berkhidmat sebagai pramugari, tetapi bidang nyanyian adalah jiwanya sejak dulu.

“Tugas sebagai pramugari atau kru kabin sangat mementingkan aspek keselamatan penumpang.

“Saya bimbang jika terlalu banyak perhatian diberikan terhadap kehidupan peribadi, ia akan mengganggu kelancaran kerja,” katanya.

Ditanya kenapa dia seolah-olah merahsiakan kerjaya sebagai pramugari sebelum ini pula, kata Aufahanie, dia bukan sengaja mengelak atau enggan bercerita perkara itu.

“Bukan saya mahu merahsiakannya, cuma bagi saya lebih baik tidak perlu bercerita kepada semua orang. Kalau orang nampak saya bekerja, mereka akan tahu.

“Saya lebih selesa tidak mendedahkan kerjaya sebelum ini kerana faktor profesionalisme menggalas tugas di sektor perkhidmatan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Aufahanie, dia mengambil masa hampir tujuh bulan untuk memikirkan hala tuju kerjayanya termasuk mendapatkan pandangan ibunya yang juga individu penting dalam perjalanan karier seninya.

“Ummi (emak) sebenarnya lebih suka saya menyanyi. Perjalanan saya dalam industri ini pun semuanya memang ada Ummi. Kalau saya tidak teruskan menyanyi, saya rasa seperti mensia-siakan segala usahanya selama ini.

“Apa yang saya ada hari ini banyak hasil sokongan dan pengorbanan Ummi. Jadi, kepulangan saya dalam bidang seni juga untuk Ummi,” katanya.

Bercerita karier nyanyian pula, kata penyanyi lagu Butterfly itu, dia akui proses untuk kembali aktif juga tidak berlaku mendadak dan dia juga menerima tawaran persembahan secara berperingkat.

Aufahanie juga mengambil keputusan menyertai semula pengurusan XO House dan berharap kolaborasi berkenaan mampu melonjakkan semula namanya dalam bidang seni.

Katanya, dia juga sudah menghasilkan tiga hingga empat lagu bersama pihak pengurusannya, XO House sejak beberapa bulan lalu.

Antara karya terbaharu ialah single berjudul Tersenyum Lagi yang cukup dekat dengan kisah kehilangan arwah abangnya itu.

“Lirik lagu Tersenyum Lagi mempunyai mesej menggambarkan harapan untuk kembali tersenyum apabila mengenangkan arwah abang saya.

“Bukan susah dari segi vokal, cuma cabarannya adalah untuk mengawal emosi ketika menyanyikannya.

“Malah, saya pernah berasa terlalu sebak sehingga ambil keputusan tidak mempersembahkan lagu berkenaan dalam satu acara kerana bimbang gagal mengawal perasaan,” katanya yang pernah menyertai program realiti Vokal Mania dan Big Stage musim kelima.

Terdahulu, Aufahanie kehilangan abangnya, Allahyarham Nidza Afham yang meninggal dunia selepas disahkan hilang di kawasan Sungai Klang pada 2024. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here