Home Hiburan KRU PRODUKSI DAKWA PERNAH BERTEMU KANDUNGAN GHAIB

KRU PRODUKSI DAKWA PERNAH BERTEMU KANDUNGAN GHAIB

Kuala Lumpur : Selepas mencipta fenomena sebagai naskhah seram nombor satu Taiwan bagi tahun 2026, siri francais popular The Rope Curse kembali menggempur pawagam tempatan menerusi karya terbaharu yang membawa legenda Kuntilanak dari Indonesia ke layar perak.

Memetik laporan Harian Metro, Filem The Rope Curse 4: Kuntilanak meneruskan kejayaan francais berkenaan yang kini mencatat kutipan keseluruhan melebihi NT$200 juta (kira-kira RM25.1 juta).

Berbeza daripada tiga naskhah terdahulu, karya arahan Liao Shih-han dan penerbit Tsou Chieh-chung ini membawa pasukan penghalau roh merentasi sempadan ke Indonesia, sekali gus mempertemukan ritual mistik Taiwan dengan pantang larang masyarakat tempatan.

Penceritaan bermula apabila Yulan lakonan Chen Hsueh-Chen menjadi mangsa sumpahan misteri Soul Displacement (perpindahan roh).

Bagi menyelamatkan ibu saudaranya, Chia-min (Hsu An-chih) bersama Ah Guai (Liu Kuo-shao) serta pasukan penghalau roh nekad menjelajah ke Indonesia demi mematahkan ancaman itu. 

Selain mengekalkan barisan pelakon Taiwan seperti Chen Po-cheng dan Hu Yu-heng, filem ini turut memperlihatkan gabungan unik bersama bintang Indonesia termasuk aktor veteran Ferry Salim yang pernah digelar ‘Andy Lau Indonesia’, YouTuber popular Andovi Da Lopez, serta bekas ahli kumpulan idola JKT48, Yessica Tamara.

Di sebalik pembikinan naskhah mistik ini, pasukan produksi mendedahkan lebih 50 kru penggambaran dibawa berlepas ke Indonesia.

Pengarah dan penerbitnya mengakui terkejut apabila lebih separuh daripada kru tempatan Indonesia mendakwa pernah mengalami sendiri kejadian bertemu makhluk Kuntilanak.

Tidak hanya kru tempatan, gangguan misteri turut melanda pelakon utama, Hsu An-chih.

Dia mendedahkan solekan watak Kuntilanak yang terlalu realistik menyebabkan dirinya berasa loya sehingga muntah lebih 10 kali di set penggambaran.

“Keadaan lebih menakutkan berlaku pada malam selepas babak itu apabila saya bermimpi ditindih lembaga lelaki berambut panjang yang menutup kedua-dua mata saya.

“Saya membaca mantera di dalam hati sebelum berjaya melepaskan diri. Disebabkan terlalu takut, saya menghabiskan baki malam di koridor hotel sehingga subuh,” katanya yang kemudian mendapat tahu pelakon Chen Hsueh-Chen dan Liu Kuo-shao turut mengalami kejadian mistik hampir sama di bilik masing-masing.

Diedarkan oleh mm2 Entertainment Malaysia, filem seram psikologi supernatural yang menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia sejak 5 November ini dijangka mendedahkan penonton tempatan kepada dimensi baharu persepaduan dua budaya mistik Asia Tenggara. – HMetro –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here