Home Hiburan EZAIDI AZIZ MAHU CABAR DIRI BAWA WATAK BERAT

EZAIDI AZIZ MAHU CABAR DIRI BAWA WATAK BERAT

KUALA LUMPUR: Belum cukup dikenali dan masih dalam fasa membina nama, pelakon Ezaidi Aziz tidak mahu bersikap terlalu memilih dalam menerima tawaran lakonan, sebaliknya menjadikan nilai serta mesej sesebuah naskhah sebagai keutamaan.

Memetik laporan Berita Harian, Ezaidi atau nama lengkapnya, Mohamed Ezaidi Ab Aziz, 31, berkata dia terbuka untuk menjayakan pelbagai jenis karya selagi jalan cerita diketengahkan mempunyai nilai dan pengajaran yang boleh dikongsi bersama penonton.

Menurut pelakon drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar itu, dia sedar kedudukannya yang masih baharu dalam industri seni, justeru tidak melihat alasan untuk meletakkan kriteria terlalu tinggi terhadap tawaran yang diterima.

“Siapalah saya ini kalau hendak terlalu memilih, masih ramai yang belum kenal saya. Saya masih baharu dalam industri, itu sahaja yang boleh saya cakap. Sebab itu, saya tidak kisah menerima tawaran berlakon dalam apa sahaja drama.

“Saya okay untuk menjayakan apa-apa cerita asalkan naskhah itu ada nilai dan memberikan pengajaran kepada penonton. Kalau sekadar cerita yang tidak ada apa-apa untuk diketengahkan, mungkin saya tidak terima,” katanya.

Ezaidi ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-38 di Ombak, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Ezaidi meluahkan rasa syukur apabila berjaya membolosi senarai pencalonan kategori Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 38, meskipun pencapaian itu diraih ketika usianya sudah mencecah 31 tahun.

Baginya, pencalonan berkenaan sudah cukup bermakna dan dianggap sebagai rezeki yang hadir pada waktu tepat, meskipun tidak pernah menyangka mampu melangkah ke tahap itu.

“Sejujurnya, apabila dicalonkan pun, saya sudah rasa sangat bersyukur kerana ini juga rezeki. Semua ini Allah sudah susun untuk saya terima pada usia 31 tahun.

“Lambat atau cepat, itu semua bukan kerja saya. Saya tidak pernah terfikir sebenarnya untuk melangkah ke tahap ini,” katanya.

Mengulas pandangan kurang positif terhadap kemampuan lakonannya, Ezaidi berkata, kritikan diterima tidak pernah mematahkan semangat, sebaliknya menjadi pembakar motivasi untuk terus memperbaiki diri.

Dia mengakui ada pihak meragui kemampuannya membawa watak berat, namun memilih menjadikan pandangan itu sebagai cabaran untuk membuktikan potensi sebenar.

“Saya ada dengar kata-kata yang kurang baik terhadap saya sehingga membuatkan saya rasa hendak buktikan bahawa sebenarnya saya boleh.

“Ada orang cakap saya tidak boleh bawa watak berat. Namun, saya tidak rasa ayat itu merendahkan saya. Sebaliknya, ia memberi semangat untuk saya buktikan apa yang mereka cakap itu salah,” katanya.

Menerusi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Ezaidi dicalonkan bersama sembilan calon lain, iaitu Alpha, Ammar Haikal, Badron Munirah, Hussain, Gbril, Hadie Elfardie, Imranul Effendy, Ryenald Guntabid dan Zairi Aziz. – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here