Home Buletin Semasa JABATAN PERIKANAN PAHANG TAHAN DUA VESEL TANGKAP IKAN DALAM TAMAN LAUT PULAU...

JABATAN PERIKANAN PAHANG TAHAN DUA VESEL TANGKAP IKAN DALAM TAMAN LAUT PULAU TIOMAN

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

ROMPIN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang menahan dua vesel pukat tunda Zon C yang dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram dalam kawasan Taman Laut Pulau Tioman, kelmarin.

Kedua-dua vesel berkenaan ditahan masing-masing pada jarak 4.6 dan 5.7 batu nautika dari Pulau Tioman, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata tindakan itu susulan aduan dan maklumat diterima daripada penduduk Pulau Tioman sebelum operasi pemantauan dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mersing, Johor.

Menurutnya, operasi berkenaan turut meliputi perairan Taman Laut Johor bagi membanteras aktiviti perikanan yang melanggar peruntukan Akta Perikanan 1985, khususnya kegiatan menangkap ikan dalam kawasan taman laut.

“Siasatan mendapati kedua-dua vesel pukat tunda Zon C yang ditahan itu milik nelayan Pulau Tioman dan turut membawa hasil tangkapan pelbagai jenis ikan yang banyak terdapat di perairan berkenaan.

“Jabatan merakamkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat disalurkan, sekali gus membuktikan keprihatinan mereka terhadap pematuhan undang-undang. Kerjasama APMM Mersing juga amat dihargai,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, nelayan yang melakukan kesalahan menangkap ikan dalam kawasan taman laut mengikut Seksyen 43 Akta Perikanan (Pindaan) 2025 boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM1 juta.

Katanya, kegiatan menangkap ikan di kawasan berkenaan merupakan kesalahan serius kerana boleh mengakibatkan kemusnahan batu karang yang menjadi antara tarikan utama pelancong ke pulau peranginan itu.

Roslan berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora ketika ini dipercayai mendorong segelintir nelayan mengambil risiko menceroboh kawasan taman laut, selain melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan pada jarak kurang daripada 12 batu nautika bagi vesel Zon C.

“Kita tidak akan berkompromi dengan nelayan yang berdegil dan melanggar peraturan dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan taman laut. Sikap rakus mereka pasti berakhir dengan hukuman setimpal.

“Perbuatan itu boleh mengundang kemusnahan pelbagai spesies batu karang yang menjadi antara keunikan dasar laut pulau peranginan terkenal berkenaan,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here