Oleh: Afrizam Arif @ I Medikel TV
MACHANG: Bermula sekadar rasa ingin mencuba makanan tradisional India yang tular di TikTok, seorang bakal guru kini berjaya menjana pendapatan sampingan dengan menjual Rasmalai, iaitu sejenis pencuci mulut berasaskan susu yang masih kurang dikenali di Kelantan.
Sharifah Syazwina Syed Mohd Nazari, 27, berkata, idea untuk menjual makanan itu tercetus selepas dia membeli dan merasai sendiri keenakan Rasmalai yang sering dipromosikan di media sosial.

Menurutnya, minat terhadap makanan tradisional India bukan sesuatu yang baharu kerana beliau sebelum ini turut menggemari vadai dan pani puri, malah pernah menghasilkan pani puri sendiri untuk dinikmati bersama keluarga.
“Selepas mencuba Rasmalai, saya terfikir untuk belajar membuatnya sendiri kerana makanan ini masih belum begitu dikenali di Kelantan.
“Saya tidak sangka ramai yang teruja untuk mencubanya kerana namanya unik dan jarang didengar,” katanya kepada I Medikel TV, hari ini.
Dia yang mendapat sokongan penuh suami, Muhamad Azim Amri, 30, menjalankan perniagaan itu secara sambilan pada hujung minggu memandangkan masih mempunyai komitmen sebagai bakal pendidik.
Lebih menarik, katanya, sambutan diterima semakin menggalakkan terutama menjelang perayaan Deepavali apabila ramai perantau yang pulang ke kampung halaman mengambil peluang mencuba pencuci mulut berkenaan.
“Ramai pelanggan ingin tahu bagaimana rasa Rasmalai kerana nama makanan ini agak asing. Alhamdulillah, kebanyakan yang mencuba memberikan maklum balas positif walaupun ada yang bukan penggemar susu,” katanya.

Sharifah Syazwina berkata, satu bekas Rasmalai dijual pada harga RM15 dengan kandungan antara lima hingga enam biji bergantung kepada saiz, selain menawarkan perkhidmatan penghantaran serta pengambilan sendiri di rumah.
Jelasnya, proses menghasilkan Rasmalai agak rumit kerana bermula dengan memasak susu penuh krim sebelum dicampur air lemon untuk menghasilkan ketulan susu yang kemudiannya ditapis, diperah, diuli, dibentuk dan direbus dalam air gula sebelum dimasukkan ke dalam kuah susu.
“Bahagian paling mencabar ialah ketika menapis dan memerah susu yang masih panas. Jika tidak dilakukan dengan betul, tekstur Rasmalai akan menjadi terlalu lembik,” katanya.
Menariknya, Rasmalai yang dihasilkannya menggunakan susu penuh krim dan turut dihiasi taburan pistachio, hirisan badam, kacang cincang serta kuntuman ros kering bagi menambah aroma dan keunikan rasa.
Tahun lalu, Sharifah Syazwina pernah menjalankan perniagaan taufufa secara kecil-kecilan dan menganggap sambutan diterima terhadap Rasmalai membuktikan makanan yang dihasilkan dengan minat, kesabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh mampu membuka peluang rezeki baharu walaupun bermula sebagai kerja sampingan.
IMedikelTV






