Home Buletin Semasa JBPM PULAU PINANG TANGANI TIGA INSIDEN BERKAITAN POKOK TUMBANG DAN BANJIR KILAT...

JBPM PULAU PINANG TANGANI TIGA INSIDEN BERKAITAN POKOK TUMBANG DAN BANJIR KILAT AKIBAT CUACA BURUK

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Hujan lebat berserta angin kencang yang melanda beberapa kawasan di Seberang Perai petang semalam hingga malam tadi mengakibatkan dua kejadian pokok tumbang serta banjir kilat, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 6 petang, sebatang pokok tumbang berhampiran sebuah kedai di Desa Sutera Square, Perai, di sini lalu menghempap sebuah teksi jenis Proton Saga, selain menyebabkan kerosakan kecil pada bumbung sebuah premis berhampiran.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan BBP Bandar Perda dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu.

“Setiba di lokasi, anggota mendapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah teksi Proton Saga dan sebahagian kecil struktur bumbung kedai berhampiran.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi pemotongan serta pembersihan pokok dijalankan sebelum lokasi diserahkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Operasi yang membabitkan tujuh anggota bomba itu tamat sepenuhnya pada jam 7.57 malam.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian sama di Mengkuang Titi, Kubang Semang, sebatang pokok tumbang menghempap sebahagian bumbung sebuah rumah serta sebuah Perodua Bezza.

John Sagun berkata, enam anggota dari BBP Penanti bergegas ke lokasi dan menjalankan kerja pemotongan serta pembersihan pokok yang menghalang kawasan berkenaan.

“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan selepas memastikan keadaan selamat, lokasi diserahkan kepada pemilik rumah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi berakhir pada jam 6.48 petang.

Dalam perkembangan berasingan, JBPM Pulau Pinang turut menjalankan pemantauan banjir kilat di Kampung Mengkuang Titi, Bukit Mertajam selepas menerima panggilan pada jam 8.30 malam.

John Sagun berkata, hasil pemeriksaan mendapati paras air di kawasan berkenaan mencecah kira-kira satu kaki dan dipercayai berpunca daripada

peningkatan paras air di parit berhampiran.

Bagaimanapun katanya, air banjir tidak memasuki mana-mana rumah dan tiada aktiviti penyelamatan diperlukan.

“Enam anggota BBP Penanti melakukan pemantauan sehingga air beransur surut sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.25 malam,” katanya.

JBPM Pulau Pinang menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama ketika hujan lebat dan angin kencang kerana keadaan cuaca buruk boleh meningkatkan risiko kejadian pokok tumbang serta banjir kilat.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here