KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad menjadi suara utama 6ixth Sense, vokalisnya, Adi Priyo, membuat keputusan mengundurkan diri daripada kumpulan itu bagi memberi laluan kepada fasa baharu dalam perjalanan seni.
Memetik laporan Berita Harian, Keputusan berkenaan bukan didorong perselisihan faham atau konflik dengan anggota lain, sebaliknya dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk stamina yang tidak lagi seperti dahulu serta komitmen keluarga dan kerjaya.
Adi, 43, berkata, selepas sekian lama bergerak secara berkumpulan, dia merasakan sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan kepada kerjaya solo, selain menyusun semula keutamaan dalam kehidupan.
Bagaimanapun, pengunduran itu tidak bermakna dia mahu memutuskan hubungan dengan kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 berkenaan, malah akan terus memberikan sokongan terhadap perjalanan seni 6ixth Sense.
Penyanyi kelahiran Jember, Jawa Timur, Indonesia itu berkata, konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu yang dijadualkan berlangsung pada 23 Januari tahun depan bakal menjadi hadiah terakhir buat peminat sebelum dia mengundurkan diri.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk mengundurkan diri seketika sebagai vokalis utama. Saya mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya solo,” katanya kepada BH Online.
Mengulas faktor yang mendorong keputusan itu, Adi berkata, stamina menjadi antara pertimbangan utama, terutama selepas merasakan dirinya tidak lagi mampu mengekalkan tenaga seperti dahulu ketika membuat persembahan.
Katanya, jadual kerja yang padat, faktor kesihatan serta urusan keluarga turut menjadi perkara yang perlu diberikan perhatian.
“Stamina saya sudah tidak seperti dahulu untuk kekal bertenaga ketika membuat persembahan bersama kumpulan. Dengan jadual kerja yang padat, faktor kesihatan dan urusan keluarga turut diambil kira,” katanya.
Adi berkata, hasrat untuk mengundurkan diri pernah disuarakan kepada anggota lain sebelum ini dan bersyukur kerana keputusannya diterima dengan baik.
“Alhamdulillah, mereka memahami dan menghormati keputusan saya,” katanya.
Menyentuh konsert yang bakal berlangsung Januari depan, Adi berkata, persembahan itu akan menjadi peluang terakhir untuknya berkongsi pentas bersama 6ixth Sense, sekali gus melunaskan penghargaan kepada peminat yang setia menyokong kumpulan berkenaan.
Katanya, dia akan terus menyokong 6ixth Sense, termasuk sekiranya kumpulan itu mengambil keputusan mendapatkan khidmat vokalis baharu bagi meneruskan perjuangan.
“Konsert ini adalah hadiah terakhir buat peminat 6ixth Sense sebelum saya mengundurkan diri. Saya akan terus menyokong 6ixth Sense, termasuk sekiranya mereka mendapatkan vokalis baharu,” katanya.
Bagaimanapun, Adi menyerahkan sepenuhnya kepada anggota lain untuk menentukan hala tuju kumpulan itu selepas pengundurannya.
Katanya, sama ada 6ixth Sense mahu meneruskan perjuangan dengan vokalis baharu atau memilih perancangan lain, dia tetap mendoakan yang terbaik buat kumpulan yang menjadi sebahagian besar perjalanan seninya.
“Terpulang kepada rakan-rakan 6ixth Sense untuk membuat keputusan sama ada mahu mendapatkan khidmat vokalis baharu atau mempunyai perancangan lain selepas ini.
“Saya doakan yang terbaik dan semoga 6ixth Sense terus maju jaya,” katanya. – BH Online –
IMedikelTV






