Oleh: Wartawan IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang wanita maut selepas motosikal yang diboncengnya bergesel dengan sebuah treler sebelum terjatuh dan diseret kenderaan berat itu dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari, mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Suami mangsa yang berusia 56 tahun dan menunggang motosikal berkenaan pula mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu treler berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati treler jenis Volvo itu sedang dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai bergesel dengan tayar paling belakang di bahagian kiri treler berkenaan.
Pergeseran itu menyebabkan motosikal terbabit terjatuh sebelum diseret oleh treler berkenaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.
Mazlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang menunggang secara melulu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya yang dijangka lebih sibuk berikutan pertambahan kenderaan sempena cuti perayaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Khairul Izaat Md Nasir di talian 09-966 6222.
IMedikelTV






