Hong Kong: Seorang nenek dijatuhi hukuman penjara 20 hari selepas menampar kanak-kanak perempuan berusia lima tahun susulan pertikaian mengenai bola keranjang antara mangsa dan cucu lelakinya di kawasan permainan di sebuah pusat beli-belah APM di Kwun Tong, di sini, lapor South China Morning Post.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Tertuduh, Leung Lai-ha, 68, mengaku bersalah di mahkamah pada Khamis atas pertuduhan mencederakan kanak-kanak itu dalam kejadian pada 26 Ogos lalu. Dia turut mengakui bertindak mengikut perasaan.
Rakaman video kejadian menunjukkan pertengkaran membabitkan tiga individu dewasa iaitu Leung, anak perempuannya Ng Ka-wun, 34, dan ibu kepada mangsa, Xu Yang, 34, sebelum bertukar menjadi pergaduhan fizikal.
Kekecohan memuncak apabila Leung menolak kanak-kanak perempuan berkenaan sehingga terjatuh ke lantai selain menamparnya.
Ketiga-tiga Wanita itu turut didakwa atas kesalahan bergaduh di tempat awam dan mengakui fakta kes di hadapan Pemangku Majistret Utama, Li Chi-ho di Mahkamah Kwun Tong.
Leung memberitahu polis bahawa tindakannya adalah untuk memberi pengajaran kepada mangsa kerana mendakwa kanak-kanak itu membuli cucunya.
“Budak perempuan itu membuli cucu lelaki saya, jadi saya tolak dan tampar dia untuk mengajarnya,” katanya.
Sementara itu, Ng dan Xu masing-masing mendakwa tindakan mereka adalah untuk mempertahankan diri serta menuduh pihak lawan memulakan pergaduhan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pertelingkahan bermula selepas kedua-dua kanak-kanak itu berebut bola keranjang di kawasan permainan berkenaan.
Pemeriksaan perubatan mendapati muka kanak-kanak perempuan itu kemerahan manakala Leung mengalami calar ringan pada lengan.
Ketika menjatuhkan hukuman, Li berkata, Leung tidak sepatutnya melepaskan kemarahan terhadap kanak-kanak itu dan tertuduh turut dikenakan didenda 2,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM1,000) selain hukuman penjara 20 hari.
Sementara itu, Ng dan Xu bersetuju menerima bon berkelakuan baik selama satu tahun. Kedua-duanya boleh dikenakan penalti dan diarahkan membayar 1,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM500) sekiranya melakukan kesalahan sama dalam tempoh berkenaan. -AGENSI, HMetro Online-
IMedikel TV






