Home Buletin Semasa PAHANG PERKASA PENDIDIKAN, LAHIR GENERASI BERILMU DAN BERKEMAHIRAN

PAHANG PERKASA PENDIDIKAN, LAHIR GENERASI BERILMU DAN BERKEMAHIRAN

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUALA LIPIS: Kerajaan Pahang komited memperluas peluang pendidikan kepada golongan muda bagi melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran, sekali gus memastikan negeri ini terus mempunyai modal insan berkualiti selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pelbagai inisiatif pendidikan disediakan kerajaan negeri bagi membuka lebih banyak peluang kepada lepasan sekolah menengah untuk melanjutkan pengajian dan membina masa depan lebih baik.

Menurutnya, kejayaan Pahang mencatat pencapaian terbaik dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu menjadi kebanggaan, selain mencerminkan potensi besar anak muda negeri ini dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memastikan peluang melanjutkan pengajian diberikan kepada semua pelajar, sama ada yang memperoleh keputusan cemerlang mahupun kurang cemerlang, mengikut bidang yang diminati.

“Lebih membanggakan apabila Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang dikendalikan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri turut mencatat kecemerlangan di peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal, pada Program Jelajah Pahang 1st Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Pahang 2026 peringkat Lipis dan Cameron Highlands di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Seri Dr Ismail Mohammed Said.

Program berkenaan disertai 1,288 peserta terdiri daripada pelajar SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Penganjurannya bertujuan meningkatkan kesedaran golongan muda mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selain memberi pendedahan mengenai kepentingan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam membina masa depan kerjaya yang lebih terjamin.

Sementara itu, Fadzli berkata pendidikan merupakan antara jalan terbaik untuk mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, penganjuran program seumpama itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan golongan muda memperoleh maklumat dan pendedahan sewajarnya bagi membuat pilihan pendidikan bersesuaian dengan minat serta kemampuan masing-masing.

“Anak muda hari ini merupakan aset penting kepada kerajaan negeri dan generasi pelapis yang akan meneruskan kepimpinan negeri pada masa hadapan.

“Justeru, program seperti ini penting untuk memberikan kefahaman, meningkatkan kesedaran dan membantu mereka menentukan hala tuju pendidikan serta kerjaya,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here