Baitulmaqdis: Calon pembangkang Israel, Gadi Eisenkot, berkata pada Jumaat bahawa beliau mencapai kemajuan dalam usaha membentuk kerajaan bagi menggantikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan menjangkakan akan menerima mandat daripada presiden.
“Kami mencapai kemajuan besar dan memperoleh kejayaan dalam beberapa rundingan secara senyap serta sederhana, dengan banyak perkara masih berlangsung di sebalik tabir,” tulis Eisenkot di platform X.
Memetik laporan Afp menerusi Harian Metro, Netanyahu dan Eisenkot gagal memperoleh majoriti dalam pilihan raya pada 27 Oktober lalu ketika masyarakat Israel berpecah akibat sokongan dan penentangan terhadap Netanyahu, selain keletihan selepas tiga tahun berperang.
Eisenkot, bekas komander tentera yang kempen politiknya menyasarkan pengundi sekular dan liberal Israel, berpotensi membentuk kerajaan bersama masyarakat Arab-Israel, yang jumlah kerusinya meningkat susulan kemarahan terhadap kerajaan Netanyahu berhaluan kanan jauh.
Bagaimanapun, pakatan dengan masyarakat Arab-Israel mendapat tentangan daripada rakan gabungan pembangkang, Avigdor Liberman, bekas pembantu Netanyahu yang kini lantang mengkritik perdana menteri itu.
Liberman pada Jumaat berkata beliau tidak akan mengubah pendirian untuk menolak kerjasama dengan masyarakat Arab-Israel, tetapi menggesa rundingan dengan masyarakat Yahudi ultra-Ortodoks.
Dalam pada itu, Presiden Isaac Herzog merancang mengumumkan pada Ahad pihak yang diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan. Eisenkot dijangka menjadi pilihan paling munasabah kerana beliau menerima sokongan paling banyak, termasuk daripada masyarakat Arab-Israel.
Yair Golan, pemimpin utama sayap kiri Israel yang juga sebahagian daripada blok pembangkang, berkata usaha serius sedang dijalankan untuk membentuk gabungan kerajaan.
“Saya lebih optimistik berbanding pagi Rabu selepas keputusan pilihan raya diumumkan. Terdapat kemajuan. Ada kesediaan,” katanya.
Hanya Golan, pemimpin sayap kiri, secara jelas menyokong kerjasama dengan anggota Parlimen daripada masyarakat minoriti Arab yang membentuk 20 peratus penduduk Israel.
Netanyahu pula berkempen dengan memberi amaran bahawa undi kepada pembangkang akan memperkasakan masyarakat Arab Israel, iaitu keturunan rakyat Palestin yang kekal di wilayah itu sejak 1948. -AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






