Home Buletin Semasa JPJ PAHANG SITA LORI BAUKSIT, LEBIH MUATAN 16,800KG

JPJ PAHANG SITA LORI BAUKSIT, LEBIH MUATAN 16,800KG

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menyita sebuah lori yang membawa muatan bauksit melebihi had dibenarkan sebanyak 16,800 kilogram (kg) menerusi Ops Khas Lebih Muatan di Bulatan Jabor, Gebeng, dekat sini, kelmarin.

Pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa muatan seberat 42,800kg berbanding Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan iaitu 26,000kg.

Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 atas kesalahan membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Menurutnya, lori berkenaan turut disita mengikut Seksyen 80(1) akta sama untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, JPJ Pahang memandang serius kesalahan membawa muatan berlebihan kerana perbuatan itu boleh meningkatkan risiko kemalangan, selain menjejaskan kestabilan kenderaan ketika berada di jalan raya.

“Muatan berlebihan turut mengurangkan keberkesanan sistem brek serta mempercepatkan kerosakan infrastruktur jalan raya, khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan kenderaan terbabit.

“Kita akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan,” katanya di sini, semalam.

Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, pematuhan undang-undang bukan satu pilihan, sebaliknya tanggungjawab bersama demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.

Tegasnya, JPJ Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemandu serta syarikat pemilik kenderaan terbabit.

“Ops Khas Lebih Muatan dan sekatan jalan raya berjadual akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa di laluan panas yang menjadi tumpuan kenderaan perdagangan bagi memastikan pemandu sentiasa mematuhi undang-undang.

“Pemandu dan syarikat pengangkutan tidak seharusnya menyalahkan JPJ Pahang apabila tindakan undang-undang dikenakan kerana mereka sudah sedia maklum mengenai peraturan yang ditetapkan,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here