Home Sukan MBAPPE KEMBALI PERKUATKAN LES BLEUS

MBAPPE KEMBALI PERKUATKAN LES BLEUS

Paris: Kylian Mbappe mengetuai senarai pemain skuad Perancis yang diumumkan ketua jurulatih, Zinedine Zidane, bagi menghadapi aksi Liga Negara-Negara menentang Itali dan Turkiye selepas pulih daripada kecederaan ketika tugasan antarabangsa pada September lalu.

Memetik laporan Afp menerusi Harian Metro, Turut mencuri tumpuan ialah pemain tengah serangan, Pablo Pagis yang menerima panggilan sulung untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Bintang Real Madrid yang juga kapten Perancis itu menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan pertama Zidane mengendalikan Les Bleus ketika menewaskan Turkiye di tempat lawan pada 25 September lalu.

Bagaimanapun, Mbappe mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan berkenaan sehingga memaksanya terlepas baki tiga aksi skuad kebangsaan pada jendela antarabangsa sebelum ini.

Tanpa kelibat penyerang berusia 27 tahun itu, Perancis tetap mencatat dua kemenangan ke atas Belgium, masing-masing di Brussels dan di laman sendiri, selain seri menentang Itali.

Mbappe kini kembali beraksi bersama kelabnya dan mempamerkan ketajaman di depan gol apabila meledak lapan jaringan dalam tujuh perlawanan merangkumi saingan La Liga dan Liga Juara-Juara (UCL).

Bagaimanapun, Perancis tidak dapat menurunkan dua pemain Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele dan Maghnes Akliouche, selain penyerang Rennes, Esteban Lepaul bagi menghadapi dua perlawanan bulan ini.

Situasi itu menyaksikan Marcus Thuram dari Inter Milan kembali dipanggil untuk memperkuat jentera serangan, selain kehadiran Pagis yang bakal membuat penampilan pertama bersama skuad senior.

Pagis, 23, yang lebih banyak beraksi sebagai pemain tengah menyerang, mendapat ganjaran atas prestasi mengagumkan musim ini selepas menyertai Paris FC dari Lorient. Paris FC kini menduduki tangga keempat Ligue 1.

Menariknya, Pagis adalah anak kepada bekas pemain Marseille, Mickael Pagis yang pernah mewakili skuad bola sepak pantai Perancis kendalian Eric Cantona.

“Dia berada dalam skuad kerana kami mempunyai sedikit masalah dengan Akliouche dan perlu memilih seorang lagi pemain.

“Pablo berada dalam senarai panjang pemain yang dipantau dan saya mahu melihat kemampuannya. Dia pemain yang menarik, mempunyai kelainan dan peluang ini baik untuk kami menilai kemampuannya,” kata Zidane.

Dalam perkembangan lain, Aurelien Tchouameni dari Real Madrid kembali memperkuat bahagian tengah bagi menggantikan Manu Kone selepas terlepas jendela antarabangsa sebelum ini.

Pertahanan Manchester United, Leny Yoro dan Malo Gusto dari Chelsea turut disenaraikan bagi menggantikan Jules Kounde dari Barcelona serta Maxence Lacroix dari Chelsea.

Seorang lagi pemain yang tidak tersenarai ialah pertahanan Arsenal, William Saliba yang masih belum beraksi bersama kelabnya musim ini akibat kecederaan belakang.

Skuad kendalian Zidane akan berdepan Itali di Milan pada Khamis, 12 November, sebelum melayan kunjungan Turkiye di Bordeaux tiga hari kemudian dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Perancis kini mendahului Kumpulan A1 Liga Negara-Negara dengan 10 mata selepas mengharungi empat perlawanan, tiga mata mengatasi Itali.

Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir yang dijadual berlangsung Mac tahun depan. – AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here