Home Buletin Semasa TIDAK DISANGKA, DUA BERADIK SAMBUNG PENGAJIAN DI UMPSA

TIDAK DISANGKA, DUA BERADIK SAMBUNG PENGAJIAN DI UMPSA

KUANTAN: Tidak pernah merancang untuk menyambung pengajian di universiti yang sama, namun rezeki menemukan dua beradik apabila kedua-duanya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Itulah pengalaman menarik dilalui Muhammad Amir Zafran, 20, bersama adiknya, Nur Sayyidatul Firzana, 19, yang tidak menyangka impian melangkah ke menara gading akhirnya menjadi kenyataan secara bersama.

Menurut Muhammad Amir Zafran, dia pada mulanya tidak menyangka bakal menyambung pengajian bersama adiknya di UMPSA, memandangkan mereka tidak pernah merancang untuk melanjutkan pelajaran di universiti yang terletak jauh dari kampung halaman itu.

“Selepas masing-masing menerima surat tawaran, saya seolah-olah tidak percaya apabila kami berdua diterima menyambung pengajian di UMPSA.

“Impian untuk melangkah ke menara gading akhirnya menjadi kenyataan dengan pengalaman yang cukup menarik,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-duanya ditempatkan di kampus berbeza apabila Muhammad Amir Zafran mengikuti pengajian dalam bidang Teknologi Kejuruteraan di UMPSA Kampus Pekan, manakala adiknya ditempatkan di Kampus Paya Besar.

Menurutnya, walaupun terpisah oleh jarak, keadaan itu tidak menjejaskan hubungan mereka sebagai adik-beradik apabila masih dapat berhubung menerusi telefon bimbit hampir setiap minggu.

Sementara itu, Nur Sayyidatul Firzana berkata, dia berbangga kerana berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, lebih-lebih lagi apabila turut ditemani abangnya dalam perjalanan menimba ilmu.

Katanya, peluang melanjutkan pengajian di universiti sama merupakan sesuatu yang tidak pernah dirancang, sebaliknya berlaku secara kebetulan dan menjadi pengalaman cukup bermakna buat mereka berdua.

“Saya ditempatkan di UMPSA Kampus Paya Besar, manakala abang di Kampus Pekan. Jarak antara kedua-dua kampus agak jauh.

“Namun, kami tetap membawa matlamat yang sama untuk terus berjuang dan memburu kejayaan dalam bidang pendidikan,” katanya yang sebelum ini menuntut di Kolej Matrikulasi Perak.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here