Mumbai: Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan genap 61 tahun pada 2 November.
Memetik laporan Agensi melalui Harian Metro, Beliau terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon terkaya dunia apabila kekayaannya dianggarkan mencecah 10,000 crore rupee (kira-kira RM4.28 bilion).
Anggaran itu berdasarkan Senarai Individu Terkaya Hurun India 2026, sekali gus meletakkan pelakon berusia 61 tahun itu sebagai pelakon terkaya di India.
Kekayaan pelakon yang turut dikenali sebagai King Khan dan Badshah of Bollywood itu bukan hanya bersandarkan pendapatan lakonan, sebaliknya turut disumbangkan pelbagai sumber termasuk tawaran menjadi duta jenama, syarikat produksi serta pelaburan dalam bidang sukan.
Menurut laporan NDTV Profit, nilai kekayaan Shah Rukh bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding anggaran 12,490 crore rupee (kira-kira RM 5.36 bilion) dalam senarai Hurun India 2025.
Meskipun begitu, beliau kekal berada di kedudukan teratas dalam kalangan pelakon berdasarkan senarai tahun ini.
Selain memiliki syarikat produksi Red Chillies Entertainment, Shah Rukh turut menjadi pemilik bersama francais kriket Kolkata Knight Riders (KKR) dalam Liga Perdana India (IPL), bersama pelakon Juhi Chawla dan suaminya, Jay Mehta.
Red Chillies Entertainment yang ditubuhkan pada 2002 menerbitkan beberapa filem terkenal termasuk Om Shanti Om, My Name Is Khan, Ra.One, Don 2 dan Dear Zindagi.
Syarikat itu turut mengendalikan studio kesan visual Red Chillies VFX yang terbabit dalam pelbagai projek filem utama India.
Dalam sektor hartanah pula, kediaman ikoniknya, Mannat, di Bandra, Mumbai, antara aset paling bernilai dimiliki pelakon itu.
Shah Rukh membeli kediaman menghadap laut berkenaan pada 2001 dengan harga kira-kira 13.32 crore rupee (kira-kira RM 5.71 juta), manakala nilai semasanya dianggarkan mencecah 300 crore rupee (kira-kira RM 128.7 juta).
Pelakon filem Jawan itu juga dilaporkan memiliki vila mewah di Palm Jumeirah, Dubai, apartmen di Park Lane, London serta rumah ladang di Alibaug, Mumbai.
Rumah ladang seluas kira-kira 20,000 meter persegi itu dilaporkan bernilai sekitar 15 crore rupee (kira-kira RM 6.44 juta) dan dilengkapi kolam renang serta helipad.
Koleksi kenderaan mewahnya turut merangkumi Bugatti Veyron yang dianggarkan bernilai 12 crore rupee (kira-kira RM 5.15 juta), BMW i8, BMW 7 Series, Audi A6 dan beberapa model Mercedes-Benz.
Beliau juga dikatakan memiliki Rolls-Royce Phantom Drophead Coupe serta Bentley Continental GT.
Popularitinya turut menjadikan Shah Rukh antara selebriti paling mendapat permintaan untuk kempen pengiklanan, dengan jenama seperti Hyundai, BYJU’S, Vi, Foxtale dan Dubai Tourism dikaitkan dengannya.
Menurut laporan Economic Times, beliau dilaporkan mengenakan bayaran antara lima hingga 10 crore rupee (kira-kira RM 2.14 juta hingga RM 4.29 juta) bagi setiap kontrak tajaan jenama, manakala pendapatan tahunan daripada kerjasama berkenaan dianggarkan hampir 150 crore rupee (kira-kira RM 64.35 juta).-AGENSI, HMetro Online-
IMedikelTV






