Home Buletin Semasa PASANGAN SUAMI ISTERI DITAHAN BAWA WANG TUNAI HAMPIR RM3 JUTA TIDAK ISYTIHAR

PASANGAN SUAMI ISTERI DITAHAN BAWA WANG TUNAI HAMPIR RM3 JUTA TIDAK ISYTIHAR

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas disyaki membawa wang tunai bernilai hampir RM3 juta tanpa membuat pengisytiharan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, semalam.

Wang tunai itu membabitkan RM1,971,697 dalam mata wang Ringgit Malaysia dan 300,000 dolar Singapura (SGD), yang ditemukan ketika pemeriksaan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih kira-kira jam 11.40 pagi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pemeriksaan dilakukan selepas pemandu kenderaan berkenaan menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal pegawai bertugas.

Menurutnya, kenderaan bernombor pendaftaran tempatan itu dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun, manakala penumpangnya ialah wanita berusia 42 tahun.

Katanya, kenderaan terbabit diperiksa oleh tiga pegawai AKPS di lorong pemeriksaan kenderaan menghala ke Woodlands, Singapura.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan selepas pemandu kenderaan terbabit menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal dan diarahkan membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang untuk diperiksa.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan wang tunai berkenaan yang disimpan di dalam tiga kotak, satu beg kertas dan satu beg galas berwarna hitam,” katanya pada sidang media di Pejabat AKPS BSI, di sini, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang juga ahli perniagaan itu dalam perjalanan ke Singapura untuk melancong.

Beliau berkata, kegagalan mengisytiharkan wang tunai ketika dibawa masuk atau keluar negara boleh menjadi kesalahan mengikut Akta Kastam 1967.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama wang tunai serta kenderaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here