Rome: Pengendali Napoli, Massimiliano Allegri digantung dua perlawanan Serie A dan didenda selepas dilayangkan kad merah ketika pasukannya terikat 3-3 dengan Roma, hujung minggu lalu.
Memetik laporan AFP melalui Harian Metro, Penggantungan itu menyaksikan Allegri tidak dapat membimbing Napoli ketika menentang Monza, awal pagi esok, serta ketika berkunjung ke Juventus, Isnin ini.
Walaupun Napoli mengumumkan akan mengemukakan rayuan menerusi kenyataan di laman web rasmi kelab, Allegri menegaskan beliau tidak akan berbuat demikian kerana bimbang hukuman lebih berat dikenakan.
“Saya memutuskan untuk tidak merayu kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Daripada digantung dua perlawanan, saya mungkin berdepan penggantungan empat perlawanan,” katanya.
Beliau berkata perkara yang paling mengecewakan bukanlah penggantungan itu, sebaliknya kegagalan Napoli meraih tiga mata walaupun mempamerkan aksi yang baik.
“Apa yang paling mengecewakan saya, lebih daripada penggantungan ini, ialah kami gagal membawa pulang tiga mata walaupun beraksi dengan baik,” katanya.
Allegri turut mengakui ketiadaannya di bangku simpanan ketika berdepan Monza dan Juventus sesuatu yang mengecewakan, namun berseloroh penggantinya mungkin mampu melakukan tugas lebih baik.
“Memang satu perkara yang mengecewakan, tetapi saya tidak akan berada di bangku simpanan pada Selasa atau di Turin untuk menentang Juventus.
“Bagaimanapun, sesiapa sahaja yang berada di bangku simpanan pasti akan melakukan tugas lebih baik daripada saya,” katanya.
Allegri hilang kawalan emosi selepas Roma menyamakan kedudukan pada minit ke-89 dalam aksi Sabtu lalu. Beliau kemudian dilayangkan kad merah sebelum mencampakkan jaketnya ke tanah ketika meninggalkan padang.
Dalam keputusan disiplin yang dikeluarkan, Liga Itali menyatakan Allegri mengeluarkan kata-kata yang sangat tidak menghormati pegawai perlawanan di bilik persalinan serta menunjukkan sikap agresif terhadap seorang pegawai pasukan lawan.
Napoli yang muncul naib juara Serie A musim lalu di bawah kendalian Antonio Conte kini bergelut untuk mendapatkan prestasi konsisten apabila menghuni tangga ke-10, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Inter Milan. – AFP, HMetro –
IMedikelTV






