Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JELI: Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Komuniti Orang Asli menjadi platform untuk memperluas penyertaan masyarakat itu dalam aktiviti sukan, selain mengasah bakat baharu menerusi sukan bola jaring dan sepak takraw.
Timbalan Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Hazri Nizam Zakaria, berkata program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan, pengetahuan serta kemahiran asas sukan kepada peserta dalam kalangan komuniti Orang Asli.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik dan peraturan permainan, malah membantu membina keyakinan diri, memupuk disiplin serta mengukuhkan semangat kerjasama berpasukan.
“ Sukan mempunyai keupayaan untuk menyatukan masyarakat, merapatkan hubungan silaturahim dan membina komuniti yang lebih sihat, aktif serta berdaya saing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Komuniti Orang Asli Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual, di sini.
Menurutnya, pelaksanaan program itu dirancang dalam empat siri yang mempunyai kesinambungan antara latihan dan pertandingan.
Beliau berkata, tiga siri pertama memberi tumpuan kepada klinik asas bola jaring dan sepak takraw, termasuk pendedahan kepada kemahiran asas, teknik permainan, peraturan serta latihan amali yang dibimbing jurulatih.
Katanya, pendekatan latihan secara berperingkat itu diharap dapat meningkatkan penguasaan kemahiran peserta, selain membina keyakinan mereka untuk menyertai aktiviti sukan secara aktif.
“Siri keempat pula akan menjadi kemuncak program menerusi kejohanan tertutup yang melibatkan komuniti Orang Asli bagi memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam pertandingan sebenar.
“Kejohanan itu turut berpotensi menjadi ruang untuk mengenal pasti bakat baharu yang boleh diketengahkan bagi memperkembangkan sukan dalam kalangan komuniti berkenaan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan setiap sesi latihan untuk menimba ilmu, memperbaiki kemahiran dan mempelajari perkara baharu daripada jurulatih.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu, khususnya Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Jeli, tenaga pengajar, urus setia serta komuniti Orang Asli yang memberikan kerjasama.
Katanya, kerjasama erat antara jabatan, agensi, jurulatih, urus setia dan komuniti setempat penting bagi memastikan inisiatif pembangunan sukan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat.
IMedikel TV






