RIYADH: Arab Saudi mendakwa kumpulan Houthi melancarkan serangan terhadap Makkah dan Madinah semalam tetapi dapat ditangkis.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi, pihaknya berjaya memintas dua peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan terbabit, namun terdapat serpihan yang jatuh di dua wilayah berkenaan.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, bagaimanapun, Houthi menafikan pihaknya menyasarkan kedua-dua bandar yang menjadi kota paling suci bagi umat Islam, dengan tidak teragak-agak menyifatkan tuduhan Arab Saudi sebagai pembohongan besar.
Petang semalam, Houthi dilaporkan melancarkan serangan terbaharu sehingga mencetuskan amaran kepada syarikat penerbangan, kakitangan lapangan terbang dan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh.
Jurucakap kumpulan terbabit, Yahya Saree, pagi ini menyifatkan kawasan itu kekal sebagai sasaran ketenteraan.
Dalam tempoh 24 jam lalu, Houthi mendakwa menyasarkan tiga lapangan terbang di Arab Saudi, termasuk lapangan terbang antarabangsa di ibu negara Riyadh, selain kemudahan tenaga, saluran paip dan sebuah pangkalan udara.
Yahya berkata Houthi melancarkan peluru berpandu ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid milik Arab Saudi yang menjadi musuhnya menerusi dua fasa.
Beliau berkata, serangan turut menyasarkan lapangan terbang di Dammam dekat bahagian timur dan Najran dekat bahagian selatan negara itu.
Semalam, pihak Lapangan Terbang King Khalid memaklumkan bahawa terminal 1 dan 2 akan digunakan untuk penerbangan domestik serta antarabangsa mulai hari ini, selepas operasi ditutup susulan beberapa serangan maut bulan ini.

Selain itu, Houthi didakwa melancarkan serangan ke atas pangkalan udara Khamis Mushait dekat selatan Arab Saudi, termasuk menyasarkan stesen mengepam minyak mentah dan saluran paip minyak mentah dari timur ke barat.
Kumpulan itu juga dilapor melancarkan serangan ke atas bandar Aden dekat selatan Yaman, yang menjadi pusat pentadbiran sementara kerajaan disokong Arab Saudi, dengan menyasarkan pangkalan tentera laut dan kem tentera di bawah pengawasan tentera negara berkenaan.
Pihak berkuasa berkata, ibu pejabat pengawal pantai, sebuah lagi bangunan milik pasukan itu serta Lapangan Terbang Aden turut menjadi sasaran serangan.
Dakwaan serangan terbaharu itu dibuat selepas saluran televisyen Al-Masirah milik Houthi menuduh Arab Saudi melancarkan serangan berasingan di Yaman yang mengorbankan lebih puluhan orang.
Riyadh tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang didakwa itu.
Semalam, pakatan diketuai Arab Saudi berkata pihaknya memintas dua peluru berpandu yang menyasarkan bandar Taif dan Yanbu dekat bahagian barat negara itu.
Pertahanan Awam Arab Saudi turut menyiarkan amaran mengenai kemungkinan bahaya di empat wilayah di bahagian barat, termasuk Taif dan Yanbu serta Makkah, lokasi kota paling suci dalam Islam.
Namun, amaran itu ditarik balik beberapa minit kemudian. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






