Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, sekarang saya sudah bergelar suami kepada pasangan tercinta saya, Bella.”
Memetik laporan Harian Metro, Demikian luahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, selepas sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah, 32, dengan sekali lafaz.
Mengulas detik akad nikahnya, Syed Saddiq mengakui biarpun terbiasa berdepan perdebatan di Parlimen, situasi berbeza dirasainya pada hari bahagia itu sehingga membuatkannya berasa gementar.
“Sebelum ini ada (rasa) gementar juga, ingat over confident (terlalu yakin). Debat tak ada masalah, di Parlimen tak ada masalah. Tapi (akad nikah) tadi gementar juga, rasa bergegar juga tangan.
“Tapi Alhamdulillah bila sudah sah, semua tamat. Bila Dr Zulkifli katakan sah, (momen) itu yang paling penting,” katanya dalam temubual bersama pengacara majlis, Radin yang juga penyampai radio.
Sementara itu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah meluahkan rasa berbesar hati serta bersyukur atas kelancaran majlis pernikahan mereka di Aras 118, Menara Merdeka Maybank, pagi tadi.
Bella turut merakamkan penghargaan kepada peminat BASS atas doa dan sokongan berterusan yang diberikan kepada mereka berdua.
“Bella sangat berbesar hati hari ini, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana semuanya sudah selesai.
“Terima kasih kepada yang sentiasa mendoakan, yang sokong Bella dengan YB (Syed Saddiq), yang banyak doakan kami sehingga ke hari ini. Kami sangat-sangat hargai, Alhamdulillah,” kata Bella.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menghargai orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan dan memberikan kata-kata positif sepanjang perjalanan hubungan mereka.
“Terima kasih kerana sentiasa mendoakan perjalanan kami. Ada jatuh bangunnya, kadang kala ada rintangan dan cabarannya.
“Tetapi saya yakin di atas berkat doa kalian semua, Alhamdulillah dapat menyatukan saya dengan Bella bersama, daripada pasangan kerja ke pasangan hidup. Alhamdulillah,” katanya.
Terdahulu, dengan sekali lafaz, Ahli Parlimen Muar itu sah bergelar suami kepada Bella Astillah tepat jam 10.41 pagi tadi.
Mempelai itu dinikahkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mewakili bapa pengantin perempuan, Awang Astillah Dullah.
Majlis turut menyaksikan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki, manakala dibalas sembilan oleh pengantin perempuan.
Pada majlis pernikahan itu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah menerima mas kahwin berjumlah RM500 tunai.
Majlis yang disiarkan secara langsung stesen televisyen Astro dihadiri keluarga, rakan selebriti dan kenalan terdekat yang menyaksikan detik bersejarah pasangan itu disatukan dalam suasana yang romantis.
Majlis pernikahan itu bertemakan konsep serba putih disulami elemen Arab dan Islamik yang berwarna putih dengan menyerlahkan konsep harmoni dan penuh keindahan.-HMetro Online-.
IMedikel TV






